Semua kumpulan darah diperlukan segera

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Pusat Pendermaan Darah, Kementerian Kesihatan pada masa ini memerlukan semua kumpulan darah bagi meningkatkan stok bekalan darah dan untuk membantu pesakit yang memerlukan di negara ini.

Oleh yang demikian, pihak Pusat Pendermaan Darah menyeru orang ramai tampil untuk menderma darah di Pusat Promosi Kesihatan pada minggu ini bermula 9 hingga 11 November dari pukul 8 pagi hingga 11 pagi dan 12:30 tengah hari hingga 1:30 petang.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, slot-slot pendermaan darah boleh ditempah melalui aplikasi BloodKad atau datang secara walk-in.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan juga mempelawa penganjur-penganjur kempen derma darah yang aktif sebelum ini untuk mengadakan kempen sama di Pusat Promosi Kesihatan pada masa yang terdekat ini.

Bagi urusan mengadakan kempen derma darah, penganjur-penganjur bolehlah menghubungi Pusat Pendermaan Darah di talian 2242424 sambungan 6001 dan 6002 atau WhatsApp ke talian 7375745.

Penderma darah juga boleh menderma darah dengan mengunjungi Tabung Darah Hospital Suri Seri Begawan, Belait setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu, dari 8 pagi hingga 2:30 petang dan Tabung Darah Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Temburong pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari 9 pagi hingga 11:30 pagi dan 1:30 petang hingga 3:30 petang.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Pendermaan Darah di talian atau WhatsApp 7375745 atau e-mel kepada bloodbank@moh.gov.bn dan ikuti Pusat Pendermaan Darah di Instagram dan Facebook @bloodbank.ripas.