BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Bermula esok (1 April), makmal-makmal makanan kerajaan di negara ini akan disatukan di bawah Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan.
Makmal-makmal yang terlibat adalah Makmal Sains Halal dan Makmal Standard Sukatan, Pusat Sains Halal dan Metrologi, Bahagian Pembangunan Industri Global Halal dibawah Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri (JPM);
Unit Perkhidmatan Makmal Mikrobio-logi Agrimakanan dan Unit Perkhidmatan Makmal Kimia Agrimakanan, Bahagian Industri Makanan; Makmal Mikrobiologi, Makmal Kimia dan Makmal Racun, Bahagian Keselamatan Makanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP);
Bahagian Keselamatan Makanan, Perkhidmatan Makmal Saintifik, Per-khidmatan Makmal dan Bahagian Mikro-biologi, Perkhidmatan Makmal Saintifik, Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga dan Perindustrian, JPM; KSSUP dan Kementerian Kesihatan hari ini, inisiatif penyepaduan makmal-makmal makanan ini adalah bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan analisis makanan yang berpusat di satu tempat (centralised).
Di samping itu juga adalah untuk memantapkan kualiti perkhidmatan yang terdapat pada ketiga-tiga kementerian yang dinyatakan di atas melalui langkah penyepaduan serta pengukuhan perkhidmatan, kepakaran penganalisa makanan, kemudahan dan infrastruktur yang sedia ada, serta mengurangkan pembaziran (wastages).
Inisiatif ini juga bertujuan membantu dan mendokong pembangunan industri makanan di Negara Brunei Darussalam.

Mulai esok, orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan analisis makanan hendaklah menghantar sampel ke Perkhidmatan Makmal Saintifik, Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan, Commonwealth Drive, Jalan Menteri Besar, Bandar Seri Begawan.
Waktu penerimaan dan pembayaran sampel di kaunter adalah pada setiap Isnin hingga hari Khamis pada pukul 8 pagi hingga 11 pagi dan 1.45 petang hingga 3 petang.
Pada Sabtu, waktu penerimaan dan pembayaran adalah pada pukul 8 pagi hingga 10.30 pagi.
Sementara itu, dua sesi taklimat bersama pihak-pihak berkepentingan (stakeholders) bagi memberigakan penyepaduan makmal-makamal makanan ini serta tatacara penggunaan perkhidmatan telah diadakan di Kementerian Kesihatan pada 7 dan 30 Mac lalu.
Sesi-sesi taklimat ini yang dikendalikan secara bersama oleh Jabatan Tenaga dan Perindustrian, JPM; KSSUP dan Kementerian Kesihatan telah dihadiri oleh lebih kurang 90 orang yang terdiri daripada pengguna-pengguna perkhidmatan analisis makanan dari pihak kerajaan serta dari pihak swasta dan persendirian dari sektor industri makanan.
Sesi-sesi taklimat ini diharapkan akan dapat meningkatkan kefahaman dan memudahkan lagi semua pihak yang berkepentingan (stakeholders) untuk mendapatkan perkhidmatan analisis makanan yang berpusat (centralised) ini, disamping mengutarakan kepentingan isu-isu penjagaan keselamatan makanan di setiap peringkat.
Dengan demikian, ianya akan dapat memperkukuhkan lagi usaha penjagaan kesihatan di Negara ini bersama semua pihak berkepentingan, selaras dengan salah satu keutamaan strategik Kementerian Kesihatan iaitu menerapkan bahawa kesihatan adalah tanggungjawab semua (health is everyone’s business).
Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai penyepaduan tersebut, orang ramai bolehlah menghubungi talian 2382424 ext 7744/7745/7737 atau melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn.
Orang ramai juga boleh menghubungi Talian Darussalam 123 bagi sebarang pertanyaan yang berkaitan.