Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Pasukan Futsal Kasuka & Ar Rawda tampil menyerlah pada dua perlawanan futsal persahabatan di Arena Futsal Yayasan Sabah di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
Perlawanan pemanasan badan itu merupakan sebahagian daripada persiapan bagi perlawanan pusingan kedua Liga Futsal Brunei 2023 (BFL 23) yang dijangka akan disambung semula pada awal bulan depan.
Skuad kendalian ketua jurulatih dari Indonesia, Wahyu Triyanto memulakan perlawanan dengan kejayaan menundukkan pasukan DNY Cartel FC dengan kedudukan 7-3 dan seterusnya berjaya mengikat pasukan Sabah FA dengan jaringan 5-5.
Ketua jurulatih Kasuka & Ar Rawda melahirkan rasa gembira menyaksikan perkembangan dan peningkatan prestasi pemain-pemain yang sangat baik dengan membentuk satu pasukan yang mantap.
“Kemajuan yang ketara ketika ini ialah semua pemain nampak mempunyai persefahaman dan taktik individu yang meningkat serta sistem permainan yang semakin berkembang di mana semua ini adalah aspek yang penting dalam setiap perlawanan” jelas Wahyu yang baru membimbing skuad berkenaan pada musim ini.
Bagaimanapun, Wahyu tetap menagih kesempurnaan dalam sistem build up serangan yang perlu direalisasikan setiap pemain untuk mengukuhkan lagi kekuatan pasukan.
“Kita yakin pasukan ini mampu melangkah lebih jauh jika kita memiliki kekuatan dari segi sistem permainan, mentaliti pemain dan kemantapan dalam satu pasukan,” jelasnya.


