GAZA, 12 JUN – Pihak Berkuasa Kawal Selia Telekomunikasi Palestin (TRA) hari ini memaklumkan bahawa semua perkhidmatan internet dan komunikasi talian tetap di Semenanjung Gaza telah terputus sepenuhnya susulan serangan ke atas laluan gentian utama terakhir.
Menurut Agensi Berita dan Maklumat Palestin, WAFA, TRA dalam satu kenyataan hari ini menyatakan bahawa pengasingan digital di Semenanjung Gaza semakin meningkat akibat sasaran sistematik ke atas infrastruktur komunikasi, walaupun terdapat banyak percubaan sebelum ini untuk membaiki beberapa laluan yang terputus serta laluan alternatif.
TRA mengesahkan bahawa wilayah tengah dan selatan Semenanjung Gaza kini turut mengalami pengasingan seperti yang dialami Bandaraya Gaza dan kawasan utara untuk hari kedua berturut-turut, berikutan serangan berterusan ke atas rangkaian komunikasi dan laluan utama yang penting.
TRA turut memaklumkan bahawa peningkatan serangan terhadap infrastruktur komunikasi itu mengancam untuk memutuskan sepenuhnya hubungan Semenanjung Gaza dengan dunia luar, sekali gus menyekat akses penduduk kepada perkhidmatan penting yang amat diperlukan seperti bantuan kemanusiaan, kesihatan, media dan pendidikan.
TRA turut memberi amaran mengenai kesan kemanusiaan dan sosial akibat gangguan itu serta menggesa semua pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa yang berkaitan untuk campur tangan segera bagi memudahkan pelaksanaan langkah-langkah yang diperlukan.
Ini akan membolehkan pasukan teknikal sampai ke lokasi kerosakan dengan selamat dan menjalankan kerja-kerja pembaikan, memandangkan gangguan berterusan hanya memburukkan lagi krisis komunikasi dan memanjangkan tempoh pengasingan yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza.
TRA menjelaskan bahawa pihak pendudukan telah menghalang pasukan teknikal daripada membaiki kabel yang terputus hari ini dan menyekat akses ke laluan sokongan alternatif.
TRA turut memaklumkan bahawa usaha membaiki beberapa laluan alternatif telah dilakukan selama berbulan-bulan lalu namun ditolak dan kru dihalang daripada melakukan tugas mereka.
Sejak Israel melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza pada 7 Oktober 2023, perkhidmatan telekomunikasi dan internet telah terputus beberapa kali disebabkan oleh pengeboman Israel secara intensif atau kehabisan bekalan bahan api yang digunakan untuk mengoperasikan penjana elektrik. – Bernama
