PAPAR, 28 MAC – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan semua pihak supaya lebih beradab apabila membuat hantaran di media sosial berkaitan isu kaum, agama dan raja (3R).
Beliau berkata ia penting bagi memastikan keharmonian masyarakat pelbagai agama dan kaum di negara ini terus terpelihara.
“Rakyat perlu menyemak sesuatu fakta yang betul dan bukannya berdasarkan emosi, khususnya yang melibatkan isu 3R. Kita kena berhati-hati kerana isu (3R) boleh diapi-apikan sehingga boleh memecahbelahkan kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Ihya Ramadan Parlimen Papar di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali.

Mohd Na’im juga berkata sebarang perkara yang boleh menimbulkan perseteruan perlu dielakkan demi mengekalkan kesatuan dan perpaduan di negara ini.
Pada majlis itu, Mohd Na’im turut menyampaikan sumbangan RM146,000 daripada agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada 16 masjid, 74 surau, siak dan bantuan makanan kepada golongan asnaf bagi Parlimen Papar. – Bernama