BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Januari 2002 – Hutang keliling pinggang dan bayaran bil yang menggunung mendorong seorang kakitangan kerajaan berusia 32 tahun menggelapkan wang berjumlah $72,920 hasil kutipan sewa BINA daripada ruang niaga yang disewakan di Kawasan Perindustrian Beribi.
Tertuduh yang bekerja dengan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama selama 13 tahun mengaku bersalah melakukan pecah amanah itu beberapa kali antara Julai dan Disember 1996.
Hakim Mahkamah Tengah Ketua Pendaftar, Hairolarni Abdul Majid ketika menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas tertuduh berkata sebagai kakitangan kerajaan, tertuduh tidak sepatutnya terdorong melakukan perbuatan itu kerana ia akan menghilangkan kepercayaan rakyat kepada semua kakitangan kerajaan.
Tertuduh bekerja sebagai kerana BINA dan bertanggungjawab mengutip bayaran dan tunggakan sewa bulanan ruang niaga milik kerajaan. Dia diberi amanah mengeluarkan resit yang akan dikeluarkan sebagai bukti bayaran oleh penyewa.
Selepas menerima bayaran, dia sepatutnya mencatatkan bayaran itu ke dalam buku tunai, manakala cek pula akan dimasukkan ke bank pada hari yang sama. Dalam tempoh berkenaan, dia mengeluarkan resit kepada penyewa tetapi tidak mencatatkannya ke dalam buku akaun tunai dan tidak juga memasukkan cek ke akaun bank, kata Timbalan Pendakwa Raya, Haji Nabil Daraina Haji Badaruddin.
Selepas dua tahun, baru BINA menyedari berlakunya kekurangan kutipan sewa. Siasatan dalaman oleh agensi tersebut mendapati kekurangan itu berlaku kerana tindakan tertuduh dan laporan polis mengenainya dibuat yang membawa kepada penggantungan tugasnya. Sebelum menjatuhkan hukuman, tertuduh mengemukakan surat kepada mahkamah menyatakan dia menyesali perbuatannya itu dan meminta hukuman kerana dia mempunyai tiga orang anak.
Hakim berkata beliau bersimpati dengan keluarga tertuduh tetapi kesalahan ini adalah serius, tambahan lagi dia tidak berusaha mengembalikan wang itu.