Monday, January 27, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Semut atasi manusia dalam cabaran pagar sesat

    JERUSALEM, 25 DIS – Satu kajian terbaharu mendedahkan bahawa kumpulan semut, dalam beberapa kes, mengatasi manusia dalam tugasan pasukan seperti mencari jalan keluar dari cabaran pagar sesat atau maze.

    Kajian oleh Institut Sains Weizmann (WIS) berkenaan diterbitkan dalam Prosiding Akademi Sains Kebangsaan (PNAS) Isnin lalu.

    Kajian baharu itu berdasarkan sifat yang dikongsi oleh manusia dan semut: keupayaan mereka untuk bekerjasama secara konsisten sambil mengangkut muatan besar yang jauh melebihi saiz badan.

    Ciri unik ini memberikan asas kepada pertandingan untuk menilai siapa yang boleh menggerakkan beban besar dengan lebih baik melalui pagar sesat.

    Untuk membandingkan semut dan manusia, para penyelidik merujuk kepada ‘masalah memindahkan piano’ dalam kajian robotik tetapi menggunakan objek berbentuk T yang besar dan bukannya piano.

    Objek besar berkenaan terpaksa dialihkan merentasi tiga ruang dan celah yang sempit. Dua set pagar sesat telah dicipta untuk memadankan saiz semut dan manusia dalam saiz kumpulan yang berbeza.

    Sementara kumpulan semut berkenaan, paratrechina longicornis, telah ditipu dengan beban yang dianggap sebagai makanan. Untuk perbandingan yang adil, kumpulan manusia diarahkan untuk tidak berkomunikasi secara lisan atau isyarat.

    Adalah tidak mengejutkan apabila manusia mengatasi semut dalam cabaran individu kerana kebolehan kognitif mereka.

    Namun dalam cabaran pasukan, semut didapati bekerja secara strategik dengan menggunakan ingatan kolektif untuk terus berada di landasan dan mengelakkan kesilapan.

    Manusia, sebaliknya, gagal apabila bertindak dalam kumpulan. Apabila komunikasi antara ahli kumpulan dihadkan untuk menyerupai komunikasi kumpulan semut, prestasi manusia menurun berbanding individu.

     Mereka cenderung untuk memilih penyelesaian yang ‘tamak’ dan tidak bermanfaat dalam jangka panjang.

    Para penyelidik menjelaskan bahawa dapatan kajian mengesahkan visi koloni semut sebagai sebuah keluarga yang mana semua ahli mempunyai kepentingan bersama. Ia juga membuktikan kerjasama boleh mengatasi persaingan. – Xinhua

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda