Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 5 Nov – Seramai 35 orang guru-guru dari Komiti Guru-guru Pembantu Pendidikan Khas (SENA) dan Learning Support Teacher (LST) Daerah Tutong termasuk enam orang pegawai dari Unit Pendidikan Khas telah melawat ke Pangkalan Warisan dan Galeri Lamin Kampung yang diusahakan oleh Haji Samehon bin Haji Kechi di Kampung Penapar, Tutong, kelmarin.
Lawatan tersebut bertujuan bagi melihat secara dekat perusahaan yang terdapat di kawasan tersebut.
Pengusaha Pangkalan Waris dan Galeri Lamin Kampung, Haji Samehon merupakan mantan guru besar dan bekas guru SENA sebelum beliau bersara pada tahun 2012. Beliau juga pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang dalam bidang pendidikan khas sempena Sambutan Hari Guru pada tahun 2001.
Beliau telah membuka Pangkalan Warisan pada tahun 2015. Beliau mempunyai moto tersendiri iaitu kerajinan dan ketabahan sebagai prinsip kerjayanya sehingga beliau berjaya seperti sekarang ini.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P11-sena-1_061117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P11-sena-3_061117.jpg)
Pangkalan Warisan dan Galeri Lamin Kampung sering dijadikan tempat lawatan dalam dan luar negara. Menerusi lawatan tersebut, rombongan juga berkesempatan menyaksikan hasil kerja kraftangan Haji Samehon.
Semua prasarana Pangkalan Warisan dan Galeri Lamin Kampung itu adalah hasil kerja tangan beliau sendiri.
Pangkalan Warisan membuka peluang orang ramai untuk menyewa tempat memancing bagi kaki pancing manakala Galeri Lamin Kampung adalah galeri koleksi gambar-gambar lama, sajak dan buku-buku simpanan Haji Samehon kerana beliau juga merupakan pengemar seni fotografi dan penulis sajak.