Saturday, March 15, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Senaman yoga semakin mendapat tempat di Palestin

    RAMALLAH – Ameera Nejem, seorang tenaga pengajar kelas yoga Palestin dari Ramallah, berdedikasi untuk membantu pelajarnya mengekalkan kesihatan mental dan fizikal di tengah-tengah wabak COVID-19 yang sedang melanda ketika ini melalui terapi senaman yoga.

    Melakukan senaman tersebut sambil memainkan muzik yang menenangkan, jurulatih berusia 36 tahun itu mengajar pelajarnya cara-cara untuk meregangkan dan mengeraskan otot serta meminta mereka untuk ‘memberi tumpuan pada diri sendiri berbanding dengan suasana di persekitaran’ semasa membuat latihan.

    “Saya menerima latihan di India, negara asal senaman yoga,” kata Nejem, menambah bahawa dia sudah terbiasa dengan latihan untuk menghilangkan ‘aura negatif’ dari dalam dirinya.

    Tetapi bukan hanya dirinya yang dia cuba untuk menolong. Nejem menjadi tenaga pengajar kira-kira enam tahun yang lalu.

    Pada permulaannya ia bukan mudah. Dia mengenang kembali apabila dia berdepan dengan kritikan apabila dia melakukan senaman yoga di tempat-tempat awam. “Setiap perkara yang baharu bagi orang di sekeliling akan menerima kritikan, tetapi lama-kelamaan ia semakin diterima oleh mereka, terutama apabila mereka mengetahui kebaikannya,” jelasnya.

    Tenaga pengajar senaman yoga, Ameera Nejem, membuka kelas yoga bagi tujuan membantu masyarakat di negara itu untuk mengekalkan kesihatan mental dan fizikal semasa penularan wabak COVID-19 yang melanda ketika ini. – Xinhua
    Menurut salah seorang pelajar bahawa yoga telah membantunya untuk memulihkan personaliti semula jadi dan memberi keceriaan. – Xinhua

    Tetapi semasa berlakunya penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia, Nejem terpaksa menutup studio yoga pada bulan Mac dan dia dapat membuka semula studionya pada bulan Ogos selepas perintah berkurung antikoronavirus dilonggarkan di negara tersebut.

    Ketika ini dia mengadakan enam kelas yoga setiap hari dan setiap kelas akan dihadiri oleh kira-kira 15 pelajar. Selain daripada mengadakan kelas di ruangan tertutup seperti di dalam studio, dia juga kadangkala akan mengadakan kelasnya di tempat lebih terbuka seperti di taman-taman disebabkan oleh kebimbangan mengenai jangkitan pandemik koronavirus.

    Dia percaya bahawa penularan wabak koronavirus yang berlaku di wilayah Palestin ketika ini telah memberikan kesan buruk kepada psikologi penduduk negara tersebut dan oleh sebab itu, dia mengambil keputusan untuk membuka semula studio miliknya, puluhan orang diminta untuk menyertai kelas yang dikendalikannya.

    Haya Al-Omari merupakan salah seorang dari pelajar yang menyertai kelas yoga yang diajar oleh Nejem kira-kira sebulan yang lalu. Dia memberitahu wartawan Xinhua bahawa dia mengalami tekanan stres semasa tempoh perintah berkurung yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19 di wilayah itu, dan menambah kini dia merasa semakin sihat selepas mengamalkan senaman yoga.

    “Senaman yoga ini sangat membantu saya untuk berkomunikasi dengan seluruh tubuh badan saya dan dengan alam sekeliling dan ia turut membantu saya untuk menjadi lebih tenang,” menurut pelajar yang berusia 25 tahun itu, dan menambah dia belajar bagaimana untuk menghilangkan tekanan stres meskipun ‘berada dalam suasana negatif’.

    Zahir Muhammed, seorang pelajar lelaki yang turut menyertai salah sebuah kelas yoga yang dikendalikan oleh Nejem, berkata bahawa yoga telah membantu dia untuk memulihkan personaliti semula jadinya dan keceriaan selepas menghabiskan kira-kira tiga jam seminggu mengamalkan yoga.

    Senaman yoga telah menjadi semakin popular bagi penduduk di Palestin. Ketika ini ratusan gimnasium telah menawarkan kelas yoga di seluruh wilayah Palestin, termasuk kelas yang dipimpin oleh Nejem. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda