Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor Mengkubau melalui biro belia dan sukan telah menubuhkan pasukan senamrobik yang dikhususkan untuk golongan wanita.
Pasukan senamrobik ini telah memulakan aktiviti mereka pada bulan lalu dan mengadakan aktiviti senamrobik setiap Jumaat pada sebelah petang dan Ahad pada sebelah pagi.
Antara lain tujuan senamrobik berkenaan adalah untuk menyemarakkan suasana kampung sekali gus menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kampung khususnya kaum wanita.
Baru-baru ini, pasukan senamrobik atau dikenali dengan Mengkubau Zumba Fitness berkenaan juga telah menyertai dan memeriahkan suasana Bandarku Ceria dengan mengadakan aktiviti senamrobik.
Di samping membuat acara senamrobik, pasukan tersebut juga mengadakan kegiatan sukan bola jaring dan beberapa acara sukan lain ke arah gaya hidup sihat.
Ini adalah untuk memberi peluang kepada kaum wanita untuk berkumpul melaksanakan kegiatan supaya dapat menghilangkan tekanan harian dan dapat mengekalkan kesihatan yang baik.
Timbalan Setiausaha MPK RPN Kampung Panchor Mengkubau, Hajah Azarina Noorayu menjelaskan, aktiviti tersebut merupakan salah satu usaha mencari pendekatan terbaik untuk menarik minat golongan beliawanis, di samping memberi pendedahan kepada aktiviti kebudayaan dan sosial yang sihat lain bagi perkembangan mereka.
“Kami berhasrat supaya aktiviti yang dijalankan ini akan memberikan seluruh golongan belia peluang untuk mengasah bakat dan kebolehan masing-masing selain mendorong mereka untuk berani tampil di khalayak ramai bagi menjayakan mana-mana aktiviti yang berkebajikan dan bermanfaat,” tambahnya.
Beliau juga mengalu-alukan golongan wanita yang tinggal di RPN Kampung Panchor Mengkubau untuk menyertai acara senamrobik berkenaan yang mana pasukan tersebut juga disertai oleh golongan wanita dari Kampung Meragang, Tanah Jambu dan Lambak.