Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Senarai pesakit hiv bocor, lelaki warga as dipenjara

    SINGAPURA, 30 SEPT – Seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) yang dipercayai mendedahkan maklumat senarai beribu-ribu penghidap virus HIV di Singapura, kebanyakan mereka terdiri daripada warga asing, telah dijatuhi hukuman penjara dua tahun di AS.

    Mikhy Farrera Brochez telah disabit-kan bersalah oleh Mahkamah Kentucky pada Jun lalu kerana cuba untuk melakukan peras ugut terhadap kerajaan Singapura dengan mendedahkan data sulit yang dicuri dari negara itu.

    Pesalah berusia 34 tahun itu mendapatkan data tersebut daripada rakannya yang merupakan seorang doktor kanan di salah sebuah hospital, yang juga membantu Brochez untuk menyembunyikan rekod kesihatannya sebagai penghidap virus HIV bagi tujuan mendapatkan permit kerja di ibu kota negara itu.

    Maklumat rahsia itu mengandungi nama dan alamat 14,200 pesakit yang didiagnosis dengan virus berkenaan.

    Maklumat yang terdedah itu mencetuskan kebimbangan kepada penghidap penyakit berkenaan, yang sekian lama terdedah kepada kritikan bagi menuntut keadilan dalam masyarakat konservatif Singapura.

    Brochez telah dijatuhi hukuman penjara selama 24 bulan oleh penjara persekutuan pada Jumaat, menurut kenyataan daripada Pejabat Peguam AS di daerah timur Kentucky.

    “Defendan telah melakukan kesalahan yang dianggap serius dan berat, sekali gus telah menjejaskan ribuan orang di seluruh dunia, ” kata peguam AS, Robert M. Duncan Jr.

    Data tersebut merangkumi maklumat lebih daripada 50 warga Amerika, tambah kenyataan itu.

    Brochez juga sedang berada di bawah pengawasan selama tiga tahun selepas dia dibebaskan daripada penjara nanti.

    Dia sebelum ini dijatuhi hukuman penjara di Singapura pada tahun 2016 kerana melakukan penipuan dengan menyembunyikan rekod kesihatannya, kesalahan yang berkaitan dengan dadah dan melakukan penipuan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda