Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Senat AS luluskan RUU keselamatan kanak-kanak dalam talian

    WASHINGTON, 31 JULAI – Senat Amerika Syarikat (AS) meluluskan pakej keselamatan media sosial besar-besaran kelmarin, yang akan memaksa syarikat-syarikat teknologi melakukan lebih banyak untuk melindungi kanak-kanak – undang-undang pertama yang menyasarkan Lembah Silikon dalam satu generasi.

    Syarikat-syarikat gergasi media sosial seperti Meta dan X telah menghadapi gelombang kemarahan politik kerana tidak meletakkan sekatan untuk mencegah ancaman dalam talian bagi kanak-kanak, termasuk daripada pemangsa seksual dan kes bunuh diri remaja.

    Tanda perpaduan antara parti yang jarang berlaku dalam tahun pilihan raya yang penuh dendam, Akta Keselamatan Dalam Talian Kanak-kanak (KOSA) dan Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-kanak dan Remaja (COPPA 2.0) telah diluluskan dalam undian dua parti besar dengan hanya tiga orang yang tidak bersetuju.

    Bagaimanapun, rang undang-undang (RUU) itu menghadapi perjalanan yang tidak pasti melalui Dewan Perwakilan, di mana Speaker Republikan, Mike Johnson telah bercakap secara meluas menyokong pakej itu tetapi tidak menjadualkan undian.

    “Hari ini adalah hari yang penting. Senat mengotakan janjinya kepada setiap ibu bapa yang kehilangan anak kerana risiko media sosial,” kata Ketua Majoriti Senat, Chuck Schumer dalam satu kenyataan.

    Undang-undang itu dirangka dengan rundingan bersama ibu bapa remaja yang telah dibuli atau dieksploitasi secara seksual tetapi telah ditentang oleh beberapa kumpulan bebas bersuara yang bimbang ia boleh membawa kepada penapisan. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda