Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Senat Filipina ratifikasi perjanjian perdagangan RCEP

    MANILA, 22 FEB – Senat Filipina kelmarin meratifikasi perjanjian perdagangan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), menjadikan semua negara-negara anggota ASEAN meluluskan pakatan itu secara rasmi, lapor Xinhua.

    Dua puluh senator bertindak menyokong perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia itu yang mewakili 30 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global.

    RCEP yang mula dikuat kuasa pada 1 Januari 2022 adalah perjanjian perdagangan melibatkan Australia, China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan 10 anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

    Setiausaha Ekonomi dan Pembangunan Filipina Arsenio Balisacan berkata RCEP “akan memacu pertumbuhan mampan ekonomi Filipina melalui perdagangan serantau dan global serta pelaburan yang lebih besar dalam sektor strategik.”

    “Menjadi sebahagian daripada RCEP akan meningkatkan lagi akses pasaran kami, meletakkan kami setanding dengan negara peserta RCEP lain serta ekonomi terbesar dunia, seperti China, Jepun, Korea Selatan dan lain-lain,” katanya.

    Balisacan berkata penyertaan Filipina dalam RCEP juga akan meningkatkan akses pasaran untuk eksport berasaskan pertanian utama, kerana negara anggota yang lain bersetuju menurunkan kadar tarif ke atas eksport Filipina.

    Pada September 2021, Presiden Filipina Rodrigo Duterte ketika itu telah meratifikasi perjanjian RCEP dan membawanya ke Senat untuk diluluskan.

    Tetapi Senat gagal meratifikasi perjanjian itu pada Disember 2021 sebelum perjanjian perdagangan bebas dikuat kuasa pada 1 Januari 2022.

    Di Filipina, perjanjian atau perjanjian antarabangsa memerlukan kelulusan Senat.

    Ferdinand Romualdez Marcos kemudiannya menggantikan Duterte selaku presiden Filipina ke-17. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...