BAMAKO, 18 OKT – Senegal mencatat sejarah kelmarin dengan melakukan pemindahan mata pertama di Afrika Barat, lapor agensi Anadolu (AA).
Presiden Bassirou Diomaye Faye menyifatkan pencapaian itu sebagai langkah besar untuk kesihatan mata di negara berkenaan.
Cheikh Khadim Ndoyem, seorang pakar oftalmologi bersama Dr Awa Diama Thiam, berjaya melaksanakan pemindahan kornea itu.
Pakar bedah mata Andre Mermoud dan Dr Felix Hammer menyelia prosedur itu, yang dijalankan di klinik Swiss Visio di Saly Portudal, sebuah resort tepi pantai di Thies.
Operasi bersejarah ini menggabungkan “kepakaran tempatan dan latihan antarabangsa,” kata presiden.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), rantau Afrika menunjukkan penurunan dalam kehilangan penglihatan akibat kekurangan vitamin A, onchocerciasis dan trakoma, tetapi cabaran baharu dalam kesihatan mata semakin meningkat.
Satu daripada setiap enam orang buta di dunia tinggal di Afrika, di samping 26 juta lagi yang mengalami tahap kecacatan penglihatan, menurut laporan minggu lepas.
Statistik menunjukkan hanya 14 peratus daripada individu yang memerlukan pembedahan katarak berjaya menerima rawatan manakala lebih 80 peratus individu yang mengalami rabun jauh tidak mendapat rawatan.
Selain itu, hanya 12 peratus daripada mereka yang memerlukan cermin mata atau intervensi pembedahan untuk masalah penglihatan kabur di Afrika akan menerima rawatan yang diperlukan, yang memberi kesan ekonomi yang besar kepada negara.
“Kos global yang dianggarkan untuk ralat pembiasan yang tidak diperbetulkan dan katarak adalah AS$14.3 bilion setahun,” menurut WHO. – Bernama