UNITED KINGDOM, 7 MEI – Seorang lelaki di United Kingdom (UK) telah dijatuhkan hukuman penjara yang ditangguhkan selepas mengaku membakar rumahnya dua kali dalam satu malam semata-mata ingin melihat anggota bomba bertugas memadam kebakaran.
James Brown, 26, dari Northumberland, berkata dia taksub dengan anggota bomba. Dia juga mengongsikan ingin menjadi anggota bomba tetapi impiannya tidak kesampaian dan hanya memerhati bomba dari jauh dan kerap menghubungi talian kecemasan, lapor Oddity Central.
Pada malam 9 September 2023, Brown membuat panggilan kecemasan melaporkan kebakaran di rumahnya di Eleventh Avenue, Ashington.
Dia mendakwa percikan api keluar dari meter elektrik dan menyebabkan cadar terbakar dalam almari. Pasukan bomba datang, memadamkan api kecil dan memutuskan bekalan elektrik.
Namun, hanya 90 minit kemudian, Brown sekali lagi menghubungi bomba untuk melaporkan kebakaran kedua.

Kali ini juga cadarnya terbakar dan dia tetap menyalahkan meter elektrik, walaupun bekalan elektrik telah pun diputuskan sebelum itu. Ini menimbulkan kecurigaan bahawa kebakaran itu disengajakan.
Menurut rekod mahkamah, Brown turut merakam video pasukan bomba ketika mereka memadam kebakaran dan kelihatan sangat teruja. Siasatan mendapati dia telah membuat 80 panggilan ke jabatan bomba dalam tempoh 12 bulan sebelum kejadian. Brown kemudian mengaku bersalah atas dua pertuduhan membakar secara cuai dan membahayakan nyawa.
Hakim Robert Adams berkata, “Dalam dunia ideal, awak mahu jadi anggota bomba. Ini jelas satu obsesi. Kepentingan utama awak nampaknya adalah menghubungi jabatan bomba, bukan membakar. Awak membazirkan sumber yang sepatutnya digunakan untuk menyelamatkan nyawa. Saya harap awak belajar daripada perbuatan ini.”
Brown dijatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan yang ditangguhkan selama dua tahun, bersama 150 jam kerja tanpa bayaran.
Peguamnya memaklumkan dia sangat menyesal dan sedang mendapatkan bantuan untuk mengatasi obsesinya. Dia juga tidak lagi menghubungi jabatan bomba sejak ditangkap. – Agensi