‘Sengatan’ Giroud ranapkan Palace

LONDON, 2 Jan – Penyerang Arsenal, Olivier Giroud menyumbat gol ‘kala jengking’ yang menakjubkan sekali gus membantu pasukannya memintas Manchester City untuk berada di tangga ketiga Liga Perdana dengan kemenangan 2-0 pada aksi Tahun Baru ke atas Crystal Palace, semalam.

Jaringan voli ‘kala jengking’ menakjubkan Giroud itu telah mengimbau kembali gol pemain Manchester United, Henrikh Mkhitaryan sebelum ini, dengan Alex Iwobi turut menemui gawang di Stadium Emirates.

Giroud memberitahu BBC: “Bukan mudah menyatakan ia adalah yang terbaik. Saya sedikit bernasib baik tetapi itu satu-satunya yang saya boleh lakukan dalam kedudukan itu. Bola berada di belakang saya dan saya cuba menendangnya dengan tumit.”

Kemenangan itu meletakkan Arsenal kini sembilan mata di belakang pendahulu Chelsea dan mereka menyertai kelompok empat terbaik bersama Tottenham Hotspur yang berada di tangga keempat selepas melakar kemenangan bergaya 4-1 ke atas Watford.

Arsenal yang beraksi tanpa Mesut Ozil, menamatkan minggu lalu dengan tiga mata di bawah penghuni tangga kedua Liverpool manakala seteru dari utara London, Spurs ketinggalan satu mata di belakang, mengatasi City menerusi perbezaan jaringan.

Giroud (kanan) diasak  pemain pertahanan Palace, James Tomskin dalam aksi Liga Perdana di Stadium Emirates, semalam. – AP
Giroud (kanan) diasak pemain pertahanan Palace, James Tomskin dalam aksi Liga Perdana di Stadium Emirates, semalam. – AP

Sementara itu, penjaga gol Palace, Hennessey menggambarkan jaringan berkenaan sebagai ‘jaringan luar biasa’ dan pengurus Arsenal, Arsene Wenger turut bersetuju dengannya.

“Sepanjang tahun, saya telah dimanjai oleh penyerang yang hebat seperti (Dennis) Bergkamp, (Thierry) Henry,” katanya.

“Kamu mengingatinya kerana mereka dikaitkan dengan gol istimewa. Ini akan menjadi gol Giroud untuk sepanjang masa,” katanya.

Gol kedua Arsenal dijaringkan penyerang Nigeria, Iwobi pada minit ke-56 menerusi tandukan selepas percubaan Scott Dann menyekat hantaran Monreal menyebabkan bola berputar di udara. – AFP