WOODSTOCK UTARA, NEW HAMPSHIRE – Perayaan seni bina ais tahunan kembali sekali lagi dan sedang berlangsung di New Hampshire dan beberapa negeri lain.
Istana Ais, yang merupakan pemasangan seni bina sementara dan tarikan pelancong, menampilkan menara, terowong, gerbang dan gua, semuanya dicipta dengan menanam, menuai dan menyusun beribu-ribu isikel dan kemudian meletupkannya dengan perenjis atau pemercik.
Syarikat di sebalik pameran seni itu telah berkembang sejak pemasangan pertamanya pada 2011. Tahun ini ia beroperasi di Utah, Minnesota, dua lokasi di Colorado dan New Hampshire, di mana tapak itu termasuk bukit tiub salji dan hotel ais. Selepas musim sejuk yang sederhana tahun lalu, para pegawai berasa teruja kerana suhu adalah cukup sejuk untuk dibuka lebih awal pada musim ini.
“Ia adalah salah satu istana ais terbesar yang pernah kami bina,” kata Jared Henningsen, naib presiden operasi syarikat itu. “Kami menjangkakan kira-kira 25 juta paun ais yang tersebar di atas kawasan seluas dua ekar.”
Tatkala ribut musim sejuk membawa salji sejuk dan basah ke Selatan, pelawat ke istana New Hampshire berkumpul untuk meneroka lorong-lorong yang berliku-liku pada Jumaat baru-baru ini.
Julia Jones dari Gloucester, Massachusetts, berkata dia mengembara ke utara New Hampshire beberapa kali setahun tetapi tidak mengalami istana ais sehingga lawatan pada hari pembukaannya.
“Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini sebelum ini,” katanya. “Sejujurnya saya tidak sangka ia akan menjadi sebesar ini.”
Jessica Sullivan, dari Fairhaven, Massachusetts, juga berasa terkejut, dan bukan hanya dengan persekitaran sejuk beku. Teman lelakinya, Brian Jacques, melamarnya semasa lawatan mereka ke istana ais tersebut.
“Ia adalah tempat yang indah,” kata Jacques, yang menerima jawapan ‘ya’ yang dia harapkan. “Saya pasti fikir, ini adalah masa dan tempat terbaik untuk melakukannya.”
Pada siang hari, dinding dan struktur lain bersinar-sinar dalam warna biru pucat. Menjelang malam apabila suasana menjadi gelap, lampu tertanam dalam ais mengeluarkan cahaya merah jambu, ungu dan hijau.
“Sebaik sahaja awda memasuki istana ais, awda sedang beralih kepada sesuatu yang benar-benar mengasyikkan dan tidak seperti sesuatu yang pernah dilihat oleh kebanyakan tetamu,” kata Henningsen.
“Saya fikir ia memberikan inspirasi kepada orang ramai.” – AP