DARI jauh kelihatan orang ramai mengerumuni seorang gadis yang sedang leka mengecat penutup lubang pembentung di sebatang jalan yang terletak di pusat bandar raya Berlin, Jerman.
Dengan berhati-hati, gadis itu dilihat menyapu cat berwarna hitam pada bahagian atas penutup lubang pembentung itu dengan menggunakan penggelek cat supaya sapuannya lebih rata dan kemas.
Selepas berpuas hati, gadis itu dilihat mengambil sehelai baju-T berwarna putih dan diletakkan pada atas penutup lubang pembentung yang telah disapu dengan cat hitam sebelum menekannya beberapa kali.
Selepas baju itu diangkat, tertera corak berbentuk beberapa bangunan yang terdapat pada bahagian atas penutup lubang pembentung itu pada baju tersebut sekali gus mempamerkan suatu hasil seni yang begitu menarik.
Pendekatan unik untuk menghasilkan corak pada tekstil dengan menggunakan teknik cetakan itu telah dipopularkan oleh sebuah kolej seni yang dikenali sebagai Raubdruckerin di Berlin.


Hasil seni
Pengasasnya, Emma France Raff memberitahu, dia mula melakukan teknik cetakan itu sejak tahun 2006 sewaktu menjayakan sebuah projek urban printing press dengan kerjasama bapanya, Johannes Kohlrusch.
Menurut Emma, idea untuk menghasilkan seni dengan teknik cetakan itu timbul selepas dia mendapat inspirasi melalui corak landskap bandar raya Berlin yang diukir pada penutup lubang pembentung selain beberapa corak geometri lain yang kelihatan menarik.
“Saya tidak menghasilkan lukisan, sebaliknya menggunakan hasil yang ada di sekeliling melalui teknik mudah dalam konteks baharu.”
“Bermula daripada permukaan dinding, lantai simen dan penutup longkang, saya memindahkan corak yang ada itu pada sehelai baju-T untuk dijadikan satu hasil seni yang cantik,” ujar Emma.
Katanya lagi, dia menggunakan nama Raubdruck kerana reka bentuknya dihasilkan daripada penutup lubang pembentung dan beberapa permukaan bercorak yang lain.
Tidak hanya tertumpu di sekitar bandar raya Berlin, Emma dan pasukannya juga telah membuat perjalanan di bandar-bandar utama sekitar Eropah seperti Paris, Perancis, Amsterdam, Belanda dan Lisbon, Portugal.
Tujuannya cuma untuk melakukan seni cetakan pada penutup lubang pembentung atau longkang yang terdapat di bandar-bandar tersebut.
Menurut Emma, peralatan yang digunakan juga cukup ringkas dan mudah didapati di kedai-kedai.

Antara barangan yang digunakan adalah bingkai kadbod, dakwat, berus dan baju-T tanpa corak.
Apabila satu-satu corak itu telah dicetak pada baju-T, Emma akan mengambil gambar di sebelah objek yang digunakan bertujuan untuk memberi gambaran kepada orang ramai mengenai hasil seninya.
Hayati keindahan
Bagi mendapatkan gambaran jelas tentang kaedah yang dilakukan, Emma dan kumpulannya sering membuat cetakan itu secara terbuka di tempat-tempat awam sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk melihatnya secara dekat.
Secara tidak langsung, aktiviti yang dilakukan itu dapat mempromosikan sesebuah bandar kerana kebanyakan motif corak yang dihasilkan mempunyai kaitan dengan lokasi tersebut.
“Tanpa kita sedar sebenarnya terdapat pelbagai corak menarik pada objek di sekeliling yang boleh digunakan dalam berkarya,” ujar pereka fesyen, Marcel Schlutt.
Emma menegaskan, karya seni yang dihasilkan melalui teknik cetakan itu sebenarnya bertujuan untuk merangsang persepsi mengenai hubungan dengan persekitaran dan menghayati keindahan yang tersembunyi pada objek-objek yang tidak dihiraukan.
Semua karya yang dihasilkan boleh dibeli melalui laman web rasmi Raubdruckerin atau berkunjung ke kedai yang terletak di Berlin. – Agensi