SANTA ANA – Selama lebih dari satu abad, seni ini telah dipelopori oleh seorang pemerintah wanita di tanah besar China yang mana ketika itu diperintah oleh kuasa pemerintah China yang kuku besi di mana kaum wanita dipercayai tidak mempunyai kuasa terhadap pemerintahan negara sama sekali. Ternyata Empress Dowager Cixi lebih daripada hanya seorang pemerintah. Pemerintah tanah China abad ke-19 itu telah menggabungkan kuasa melalui gerakan politik termasuk proses penahanan dan juga pembunuhan namun di sebalik kegagahan seorang pemerintah, Empress berkenaan turut mencinta kehalusan seni dan telah membantu memperkembangkan gaya dan budaya serta seni tradisional Asia selama lebih dari satu abad.
Pameran seni Cixi telah didatangkan ke tanah Barat untuk pertama kali baru-baru ini dan dikenali sebagai ‘The Empress Dowager, Cixi, Selections From The Summer Palace’ dan diadakan di Muzium Bowers di Santa Ana. Koleksi seni itu sebelum ini tidak pernah di bawa keluar dari negeri China dan akan kekal berada di muzium berkenaan hingga 11 Mac sebelum dikembalikan semula ke Beijing, China.
Lebih daripada 100 koleksi seni tersimpan rapi di Istana Beijing yang mewah di mana Cixi menghabiskan hidupnya di sana sehinggalah akhir hayatnya. Antara koleksi seni Cixi seperti perabot Cina yang sangat rumit rekaannya, pasu porselin dan juga beberapa ukiran-ukiran batu serta beberapa karya seni barat. Selain itu, Cixi turut menyimpan potret minyak wajah pemerintah itu sendiri yang mana telah dilukis oleh pelukis dari Belanda yang terkenal, Hubert Vos.
Pelbagai koleksi seni
Selain itu, antara koleksi-koleksi seni dari barat yang lain termasuk hadiah-hadiah dari pembesar-pembesar yang telah melawatnya antaranya set hidangan perak dari British, jam dari Jerman dan Swiss, meja marmar dari Itali dan juga sebuah kereta mewah dari Amerika Syarikat. Selebihnya, sebuah kereta Turis Duryea yang telah dihadiahkan kepada pemerintah itu pada tahun 1901 dan dipercayai sebuah kereta pertama yang diimport ke China namun kereta itu dipercayai mengalami kemalangan setelah pemandu kereta berkenaan telah melanggar pejalan kaki di negara tersebut.

“Telah ramai individu yang ingin mengetahui siapa Cixi dan bagaimana pemerintah itu memerintah China namun pameran seni ini cuba membawa para pengunjung dari sudut yang berbeza,” kata kurator pameran Yin Chen Peng, ketika dia memimpin lawatan beberapa pengunjung ke muzium berkenaan. “Sebenarnya pameran ini bertujuan untuk mengenalkan anda kepada wanita ini sebenarnya berfungsi sebagai pelindung seni, arkitek dan juga seorang pereka,” Kata salah seorang sejarawan seni Universiti Amerika kepada wartawan media.
Anne Shih yang telah mengetuai lembaga pengarah muzium berkenaan berkata bahawa baru-baru ini dia telah menghabiskan masa selama 10 tahun untuk memujuk pihak kerajaan China untuk meminjamkan seni Cixi. The Bowers telah berjaya membina reputasi antarabangsa yang mengagumkan selama bertahun-tahun dengan menganjurkan pameran karya seni yang sangat bernilai, bersejarah dan pelbagai lagi.


Walau bagaimanapun, Shih berkata bahawa pihak kerajaan China pada mulanya sering menolak tawaran daripada Shih itu. Akhirnya pelawaan Shih berjaya namun dia hanya menekankan bahawa pameran ini hanya akan memberikan tumpuan kepada bidang seni bukan kepada bidang politik. Namun pameran itu memberikan impak yang jelas akan keadaan semasa pemerintahan Cixi apatah lagi ketika pelawat mula memasuki muzium itu, di mana wajah besar pemerintah itu diletakkan dan diliputi dengan perhiasan yang indah.
Minat yang amat jelas
Minat pemerintah itu kepada seni amat jelas dan seni yang sangat terkenal ialah karya kaligrafi yang tinggi dengan dakwat hitam di atas selembar kertas yang terbentang hingga kira-kira enam kaki. Selain itu, terdapat juga pelbagai jenis lukisan dan kertas bunga yang dibuat sendiri oleh pemerintah itu. Walaupun dikenali sebagai pemerintah yang serius namun Cixi sebenarnya seorang pelukis yang baik.
Empress Dowager Cixi telah berjaya memerintah negara China selama 43 tahun dan telah meninggal dunia pada tahun 1908 ketika berusia 72 tahun. Walaupun pemerintah itu mengetuai negaranya dalam melalui pelbagai peperangan yang telah dilancarkan oleh penceroboh asing dalam beberapa tahun pemerintahannya namun Cixi juga meluangkan masanya untuk melawat beberapa buah negara dalam usahanya untuk memperkembangkan bidang seni sekali gus mencari beberapa pekerja kemahiran seni.
“Personaliti pemerintah ini sebenarnya membawa kepada pembangunan reka bentuk yang sangat menarik dan kini apabila anda pergi ke kedai-kedai antik, anda akan dapat melihat beberapa keping gaya dan corak yang menarik seolah-olah mengikut seni Cixi, itulah legasi Cixi kepada perkembangan seni di tanah China,” tambah Peng mengakhiri temu ramah bersama media. – AP