Seni inai didik jiwa lebih sabar

Oleh Nurdiyanah R.

Pastinya setiap manusia memiliki kebolehan dan keistimewaan tersendiri yang boleh diterokai untuk mencapai kecemerlangan diri.

Dengan adanya bakat yang kita miliki, alangkah baiknya jika ia diasah dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Secara tidak langsung dapat meningkatkan prestasi diri sehingga berpotensi besar dapat menyumbang kepada dunia keusahawanan dengan hasil produk atau bakat yang seseorang itu miliki meskipun bermula secara kecil-kecilan.

“Demi mengisi masa lapang, inilah peluang yang terbaik untuk memanfaatkan anugerah bakat atau kemahiran yang ada ini bersama para penggemarnya terutamanya dalam sama-sama memastikan hari-hari mereka dengan penuh kegembiraan dan keceriaan,” itulah antara kata-kata yang disampaikan oleh seorang beliawanis tempatan yang memiliki bakat dalam seni ukir inai dan melukis muka, Dayang Siti Rabiatul Adawiyah @ Siti Rabiah binti Haji Mohd Saiful Bakhtiar atau lebih senang disapa dengan nama Dayang Rabiatul semasa ditemui penulis, baru-baru ini.

Sentiasa menimba ilmu seni ukir

Meskipun Dayang Rabiatul yang kini berusia 21 tahun baru berkecimpung dalam dunia keusahawanan seni ukir penuh kreativiti ini secara sambilan di bawah Syarikat Jo Art Gallery sejak awal tahun ini, namun beliau yang bersemangat tinggi ini menjelaskan bahawa perlu adanya komitmen dan keazaman yang tinggi dalam menimba ilmu serta mengasah bakat dari hari ke hari demi mencapai prestasi memuaskan dari semasa ke semasa.

Selain itu, kebolehan Dayang Rabiatul dalam seni ukir juga terserlah dalam face painting.
Dayang Rabiatul (kiri) semasa ditemui penulis, baru-baru ini.
Setiap gerak geri tangan diadun dengan idea-idea karya yang indah lagi menarik itu sentiasa bermain dalam minda Dayang Rabiatul demi untuk menghasilkan pelbagai seni ukir inai yang begitu memukau mata para penggemarnya.
Antara barang-barang produk inai yang digunakan oleh Dayang Rabiatul untuk melukis seni ukir inai.

“Sememangnya saya tidak pernah mengikuti sebarang kursus atau pembelajaran untuk melukis, namun apa yang pasti saya sentiasa mempelajari segala kaedah atau teknik mengukir serta pembuatan inai asli itu melalui aplikasi media sosial ‘YouTube’ sahaja. Satu perkara yang semestinya diamalkan ialah latihan secara berterusan agar segala bakat dan juga kemahiran seni khususnya dalam seni ukir inai ini semakin kemas dan cantik dengan pelbagai idea atau ilham yang menarik demi untuk memberi kegembiraan kepada para penggemarnya,” tambahnya dengan nada penuh keyakinan.Seni mendidik jiwa penuh kesabaran

Dalam pada itu, Dayang Rabiatul turut mengungkapkan bahawa dunia seni ukir ini sememangnya suatu aktiviti yang mampu mendidik jiwa dan diri dengan nilai-nilai kesabaran terutamanya dalam menjalankan ketelitian mencorakkan sesuatu rekaan yang ditempah oleh setiap pelanggan.

“Kepuasan dan keceriaan pada wajah setiap pelanggan, itulah detik-detik terindah yang sentiasa bersemadi dalam diri ini yang mana ia secara tidak langsung menjadi pencetus semangat dan keyakinan diri ini,” tambahnya dengan senyuman manis.

Langkah penjagaan kualiti inai

Selain itu, Dayang Rabiatul turut menjelaskan bahawa dalam mengaplikasikan inai pada tangan pelanggan, keadaan suhu bilik yang sejuk amat dititikberatkan agar inai tidak rosak atau mengelak daripada mengalami kecairan.

“Apabila inai sudah kering pada tangan dan mengelupas, pastikan tangan dicuci dengan air biasa dan disarankan menggunakan ‘baby oil ‘agar kualiti warna inai mampu bertahan lebih lama. Namun perlu diingat juga agar tidak menggunakan sabun semasa membasuh tangan kerana ia boleh menjadikan warna inai semakin memudar atau cepat hilang,” jelasnya dengan lebih terperinci.

Semailah sikap percaya diri

Insan yang berjiwa keusahawanan ini turut menjelaskan bahawa segala rezeki dan kekuatan yang diperoleh selama ini adalah berkat doa dan sokongan daripada ibu bapa dan juga ahli keluarga serta rakan-rakan seperjuangan iaitu insan-insan yang sangat beliau sayangi dan sanjungi.

Semasa mengakhiri sesi temu bual, Dayang Rabiatul yang juga mempunyai impian untuk memiliki perkhidmatan seni ukir inai secara persendirian suatu hari nanti turut menyarankan bahawa para belia perlulah mempunyai jiwa yang kental dan percaya diri dalam menceburi pelbagai bidang yang diminati.

Menurutnya lagi, setiap manusia itu pastinya memiliki kelebihan diri masing-masing yang diberikan oleh Allah SWT maka segala bakat itu perlu dihargai dan didalami dengan sebaik-baiknya demi untuk memajukan prestasi perekonomian diri dan ahli keluarga dari semasa ke semasa meskipun bermula secara kecil-kecilan.