Saturday, November 16, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seni jahitan songkok julang budaya Melayu

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN – Cara Melayu dan sinjang, itulah pakaian tradisi kaum lelaki apabila menghadiri majlis-majlis keramaian termasuk sambutan Hari Raya Aidilfitri, namun ia tidak akan lengkap tanpa memakai songkok.

    Sudah menjadi kelaziman, songkok yang sinonim dengan Aidilfitri, sering kali mendapat permintaan hangat apabila menjelangnya musim perayaan baru-baru ini sehingga terdapat perusahaan songkok terpaksa menutup penerimaan tempahan seketika kerana dikhuatiri ‘tidak menang tangan’ menyiapkan pesanan pelanggan yang lebih awal.

    “Alhamdulillah, sekitar beberapa bulan sebelum menjelangnya bulan Syawal ini, lebih 600 biji songkok telah terjual sama ada menerusi tempahan mahu pun pembelian langsung. Sambutan begitu menggalakkan dari tahun sebelumnya tidak kira daripada golongan kanak-kanak sehingga dewasa,” kongsi Dayang Ramlah yang bekerja di bawah salah sebuah perusahaan songkok tempatan mengenai pinangan hangat songkok yang mereka hasilkan semasa ditemu bual media, baru-baru ini.

    Rentetan itu, Dayang Ramlah yang bekerja sepenuh masa juga menceritakan bahawa beliau dan rakan-rakannya telah mempelajari kemahiran asas pembuatan songkok daripada pemilik perusahaan mereka dan pernah mengikuti kursus asas di Pusat Kesenian Brunei suatu ketika dahulu.

    “Bukan mudah untuk memantapkan seni jahitan pembuatan songkok ini. Di samping berbekalkan ilmu pengetahuan dan kemahiran asas yang dimiliki, kami sentiasa berpegang teguh dengan peribahasa ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, kami tetap berjuang secara perlahan-perlahan dan teliti sehingga berhasil,” ujarnya penuh kesyukuran.

    Pelbagai jenis kain songkok yang menarik mengikut trend-trend terkini telah dihasilkan.

    Dayang Ramlah mengukur jahitan dengan cermat sesuai kehendak pelanggan.
    Dayang Ramlah menyiapkan songkok yang ditempah pelanggan.
    Antara proses pembuatan songkok yang dilakukan dengan penuh teliti untuk menepati cita rasa pelanggan.

    Menyentuh mengenai jenis kain songkok, Dayang Ramlah berkata, pelbagai jenis kain songkok yang menarik mengikut trend-trend terkini telah berjaya dihasilkannya, antaranya beludu, kulit dan tenunan. Pada kebiasaannya, beliau memerlukan waktu setengah jam untuk membuat satu songkok setiap hari.

    “Kain jenis tenunan dan kulit kini semakin mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat di negara ini terutamanya golongan muda, lebih-lebih lagi ketika tibanya Hari Raya Aidilfitri.

    “Anggaran nilai bermula dari sekitar $30 mengikut kualiti jenis kain songkok dan cita rasa rekaan pelanggan. Apa yang penting ialah kepuasan mereka adalah menjadi keutamaan kami. Apabila mereka berpuas hati, itulah kenangan manis yang sentiasa tersemat di hati dan jiwa kami semua sepanjang menjalankan perniagaan ini,” kongsinya sambil tersenyum.

    Lantaran itu, Dayang Ramlah turut menggalakkan masyarakat terutamanya golongan muda untuk memanfaatkan bakat atau kemahiran yang ada melalui dunia keusahawanan.

    Walaupun persaingan sengit, namun keyakinan, fokus dan usaha yang gigih adalah penting untuk memantapkan kualiti produk dan menjadikannya lebih menarik dan unik.

    “Semai dan peganglah prinsip ‘berkarih, berjarih, belurih’ tanpa berputus asa agar kita mampu meningkatkan prestasi ekonomi diri, keluarga dan juga negara meskipun bermula secara kecil-kecilan,” ucapnya dengan penuh tulus semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda