Seni memperkayakan sejarah masyarakat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Karya seni lukis mampu menjadi medium untuk memelihara peristiwa penting atau pada suatu ketika yang menarik kepada pelukis berkenaan.

Oleh itu, menerusi lukisan yang dihasilkan oleh seorang pelukis, ia mampu menceritakan mengenai pengalaman, perasaan dan suasana pada masa lukisan itu dihasilkan serta makna yang tersirat dalam lukisan berkenaan.

Perkara itu antara yang ditampilkan dalam Pameran Seni Lukisan bertajuk Conversations-Through Time, oleh pelukis berpengalaman, Awang Osman Mohammad di mana lebih 70 karya seninya dipamerkan Galeri Seni Creative & Space, Sengkurong bermula hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian pameran berkenaan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Terdahulu sebelum perasmian pameran berkenaan, Pengurus Galeri Seni & Studio Creative Space, Awang Osveanne Osman menyatakan peranan penting untuk merekodkan dan memelihara seni serta budaya dalam memperkayakan lagi sejarah masyarakat.

Datin Paduka Dr Hajah Norlila mendengar penerangan mengenai karya-karya seni yang dipamerkan oleh Awang Osman Mohammad.
Datin Paduka Dr Hajah Norlila mendengar penerangan mengenai karya-karya seni yang dipamerkan oleh Awang Osman Mohammad.
Antara para jemputan yang hadir untuk menyaksikan perasmian Pameran Karya Seni bertajuk, Conversations-Through Time.
Antara para jemputan yang hadir untuk menyaksikan perasmian Pameran Karya Seni bertajuk, Conversations-Through Time.

Beliau turut menerangkan mengenai matlamat penubuhan galeri seni dan studio itu di mana ia bukan sahaja memberikan ruang kepada pelukis atau karyawan tempatan untuk mempamerkan karya-karya seni mereka kepada orang ramai tetapi ia diharap dapat memberikan pendidikan, pendedahan dan mempromosi pelukis-pelukis berbakat tempatan.

Beliau turut menyatakan bahawa pameran itu merupakan pameran karya solo pelukis kedua yang dikendalikan oleh galeri berkenaan dan pameran itu merupakan sebagai satu tanda penghargaan kepada sumbangan aktif Awang Osman Mohammad kepada industri seni tempatan.

Awang Osman Mohammad yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang media, seni kreatif dan rekaan, menceritakan bahawa pameran, Conversations-Through Time, mengetengahkan sebanyak 71 buah karya seninya yang merangkumi lebih 30 tahun bermula dari tahun 70an sehingga kepada karya-karya terkininya yang dihasilkan pada 2017.

Dalam pameran itu, karya-karya yang dipamerkan merangkumi lukisan menggunakan warna air dan lukisan yang menggambarkan dialog visual berkaitan dengan sesuatu peristiwa dan juga pengalaman artis bagi tempoh lebih 30 tahun.

Pameran itu dibukakan untuk kunjungan orang ramai di Galeri Seni & Studio Creative Space pada Selasa hingga Khamis dan Sabtu dan Ahad dari pukul 10 pagi hingga 4 petang.