Sunday, March 30, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seni mempertahankan diri perkasa kanak-kanak sindrom Down

    MALAYSIA – Latihan seni mempertahankan diri adalah penting, dan Joyce Teoh Lay Bee, 55, berazam untuk melengkapkan anak perempuannya, Sabrina Teoh Weber, 16, yang menghidap sindrom Down, dengan kemahiran untuk melindungi dirinya dalam apa jua keadaan.

    Mengetahui sifat lembut anak perempuannya, Teoh mahu membina daya tahannya dan memastikan dia dapat mempertahankan dirinya jika perlu.

    Sabrina telah berlatih choi kwang do (CKD), seni mempertahankan diri yang diasaskan oleh pakar Korea Selatan Choi Kwang-Jo, sejak 2019. Disiplin ini memfokuskan pada pergerakan lembut, menggabungkan regangan berasaskan yoga untuk meningkatkan fleksibiliti.

    “Dulu, jika seseorang memukul kepalanya, dia tidak akan tahu bagaimana untuk bertindak balas. Tetapi sekarang, dia lebih yakin dan berwaspada – bersedia untuk mempertahankan diri. Seni mempertahankan diri adalah kemahiran yang berharga kerana awda tidak tahu bila sesuatu yang tidak diingini berlaku,” kata Teoh semasa temu bual di Kuala Lumpur.

    Seorang lagi ibu, Srihari Iyer, 53, berkongsi sentimen yang sama. Anak perempuannya, Isha Lakshmi Min-Huei Iyer, 11, yang juga menghidap sindrom Down, mula mengikuti latihan CKD di pusat itu ketika dia berusia lapan tahun selepas bergelut dengan koordinasi dan pengawalan diri.

    Seni mempertahankan diri membantu Sabrina (kiri) dan Isha meningkat kemahiran koordinasi, fokus dan pertahanan diri mereka. – ANN/The Star
    Sejak mempelajari seni mempertahankan diri, Isha telah meningkat dari segi kekuatan, koordinasi dan tumpuan. – ANN/The Star
    Seni mempertahankan diri adalah kemahiran berharga, menurut Teoh (kiri). – ANN/The Star

    “Seni mempertahankan diri telah mengajar Isha untuk mempertahankan diri. Dia belajar bahawa dia tidak perlu bertindak balas atau putus asa dalam setiap situasi yang sukar jika dia mempunyai keyakinan dan kepercayaan terhadap kebolehannya.

    Dan ia banyak membantunya dalam menghadapi ejekan dan penyisihan daripada aktiviti kumpulan rakan sebaya, yang merupakan cabaran yang sering dihadapi oleh kanak-kanak berkeperluan khas,” kata Srihari, seorang pengurus kewangan korporat yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

    Kanak-kanak kelainan upaya sering terdedah kepada penderaan dan buli, serta menghadapi diskriminasi, penyisihan dan layanan buruk disebabkan salah tanggapan dan stigma masyarakat.

    Tahun lepas, Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia melaporkan bahawa satu daripada empat kanak-kanak autisme diketahui pernah mengalami penderaan.

    KEMAHIRAN HIDUP

    Srihari percaya seni mempertahankan diri adalah penting untuk kanak-kanak sindrom Down.

    Dia berkata, “Kanak-kanak sindrom Down biasanya dilahirkan dengan lengan dan kaki yang kelihatan lesu, dan terdapat kecenderugan naik berat badan dengan mudah. Oleh itu, mereka perlu bekerja lebih keras untuk membina daya tahan dan kekuatan fizikal.

    “Apa-apa jenis aktiviti fizikal yang kerap adalah baik untuk mereka. Mereka yang menghidap sindrom Down juga cenderung mempunyai sifat yang tidak tahu apa-apa seperti kanak-kanak yang malangnya boleh dieksploitasi. Seni mempertahankan diri melengkapkan mereka dengan kesedaran dan kemahiran hidup.”

    Sejak mengikuti CKD, Isha telah meningkat kemahiran dari segi kekuatan, koordinasi dan fokus, kongsinya, sambil menambah bahawa Isha telah memperoleh tali pinggang emas sekarang.

    “Sebelum ini, Isha akan menumbuk dengan ‘cakar anak kucing yang lembut’. Sekarang, dia boleh menumbuk dengan agak kuat,” kata Iyer sambil memuji seni mempertahankan diri untuk membina keyakinannya.

    Selama bertahun-tahun, Sabrina telah berusaha mencapai tali pinggang hijau, mara melalui ranking putih dan kuning. Seterusnya, remaja itu menyasarkan tali pinggang biru.

    “Saya suka kelas kerana ia menyeronokkan. Saya dapat menendang, menumbuk dan bertemu rakan-rakan saya,” kata Sabrina, anak bongsu daripada dua beradik.

    Isha dan Sabrina adalah antara empat pelajar sindrom Down di pusat itu.

    Teoh berasa bangga dengan kemajuan anak perempuannya, berkata seni mempertahankan diri membantu membina keyakinan dan ketegasan. “Di sini, dia berinteraksi dengan orang lain sambil belajar disiplin dan rasa hormat. Dia mengikut arahan dan telah mengambil kemahiran asas pertahanan diri.

    “Sangat bermakna apabila melihat rakan sekelas CKDnya bersikap baik, menjaganya dan membuat dirinya tidak tersisih. Selalunya, kanak-kanak seperti Sabrina tidak dipedulikan dalam masyarakat – tetapi di sini, dia dihargai, diterima dan didekati,” kata Teoh, yang menjalankan perniagaan pemasaran dan pentadbiran berasaskan rumah di Selangor.

    MEMPENGARUHI KEHIDUPAN

    Jurulatih Sabrina, Harrison Rafferty, 31, menolak tanggapan bahawa kanak-kanak sindrom Down mempunyai kebolehan terhad.

    “Dengan latihan yang konsisten dan bimbingan yang betul, mereka boleh membangunkan kemahiran asas pertahanan diri. Melalui latihan berstruktur, mereka belajar untuk menyekat serangan, meningkatkan refleks dan membina kekuatan yang diperlukan untuk melindungi diri mereka.

    “Saya bangga dengan pelajar saya, dan saya bangga dengan tiga pengajar saya yang telah membimbing mereka. Mereka berkembang maju dalam persekitaran yang betul, seterusnya memberi manfaat kepada semua orang,” kata pemegang tali pinggang hitam Dan ke-6 itu.

    Berasal dari Aberdeenshire, Scotland, Rafferty telah menetap di Malaysia selama sedekad. Ibunya, pemegang tali pinggang hitam Dan ke-6, Debz Rafferty, mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam seni mempertahankan diri. Dia mengasaskan sekolah itu di KL pada 2012 dan Rafferty mengambil alih pada 2016.

    Rafferty percaya dalam pendidikan inklusif, di mana pelajar dari semua peringkat belajar bersama-sama, membolehkan mereka maju mengikut rentak mereka sendiri.

    “Di sekolah saya, pelajar sindrom Down mengikuti rancangan pengajaran yang sama seperti yang lain. Program ini direka khusus untuk menjadi fleksibel, memastikan kelas berkumpulan memenuhi keperluan peserta.

    “Setiap kelas mengikut pendekatan berstruktur: memanaskan badan, pengenalan konsep teras, latihan praktikal, aplikasi, relaksasi dan taklimat. Jika pelajar menyertai tahap tali pinggang yang sama, mereka secara semula jadi maju tanpa tekanan. Penggredan bulanan membolehkan mereka meningkat ke tahap seterusnya apabila sudah bersedia.

    “Dalam setiap kelas, pelajar mempelajari empat set kemahiran utama: teknik asas (pendirian, sekatan dan serangan), pertahanan terhadap cengkaman (pertahanan diri jika disambar atau dicekik), latihan serangan balas (bertahan daripada serangan), dan latihan impak (berlatih menyerang pada sasaran).

    “Proses lebih penting daripada hasil. Awda pasti terkejut apa yang pelajar kurang upaya boleh capai dengan pendekatan pengajaran yang betul. Saya menumpukan pada strategi yang memastikan semua orang mencapai matlamat pembelajaran dengan selamat dan menyeronokkan, meringkaskan pelajaran supaya tiada siapa yang ketinggalan,” katanya. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda