CHANGCUN – Seorang tukang kayu yang berasal dari China telah mendedikasikan masa persaraannya dengan menghasilkan model kapal yang cukup menarik dan berjaya dijual pada harga yang mencecah ribuan dolar.
Dalam tempoh lima tahun kebelakangan, Zhao Jinlong, 65 telah berjaya menghasilkan sebanyak 17 model kapal kayu termasuk Mayflower, HMS Victory, kapal Sweden, Gotheborg dan kapal Rusia, Ingermanland.
Zhao merupakan seorang tukang kayu yang berasal dari sebuah kawasan perkampungan yang terkenal dengan perusahaan kilang logam di Bandar raya Jilin di wilayah timur China.
“Rumah saya terletak berdekatan dengan Sungai Songhuajiang dan sentiasa berasa kagum dengan struktur kapal yang merentasi kawasan sungai tersebut. Dari situ, saya menyimpan hasrat untuk membina kapal dengan tangan sendiri namun kini menyedari diri telah berada pada fasa persaraan sehingga membuatkan saya tetap bersyukur apabila memiliki peluang untuk membina model kapal tersebut,” jelas Zhao.
Sebelum ini, Zhao sering membeli lakaran lukisan bot secara online dan daripada rakan-rakannya yang dilengkapi dengan manual teknik pembuatannya yang disampaikan dalam Bahasa Inggeris.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/M11-A_301117.jpg)
“Kapal-kapal lama ini memiliki struktur yang agak rumit dan saya harus meneliti lakaran sebelum melakukan perincian yang tepat pada model yang ingin saya hasilkan,” jelas Zhao.
Antara karya awal yang dihasilkannya adalah Mayflower yang memperuntukkan masa selama setahun untuk menyiapkannya.
“Pada awalnya, isteri saya tidak suka apabila saya terlalu memberikan tumpuan dalam seni pembuatan model kapal ini namun tidak lama kemudian dia telah bertukar fikiran dan menyokong apa yang saya lakukan. Malah kini dia cukup selesa untuk membantu saya mengikat tali dan membeli kanvas,” jelas Zhao.
Hasil kerja teliti yang dihasilkan oleh Zhao telah banyak berjaya meraih minat para pembeli dan tawaran tertinggi yang pernah diterima bagi menghasilkan HMS Victory adalah sebanyak 27,500 yuan yang bersamaan dengan AS$4,166. – Xinhua