Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Persatuan Kebudayaan Lukisan dan Seni Kaligrafi Cina meraikan ulang tahun ke-5 dalam majlis sambutan ulangtahun yang berlangsung di Dewan Goldstone, Hotel Centrepoint, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo.
Turut hadir menyerikan majlis ialah penasihat kehormat persatuan, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin dan isteri, Datin Chang Nyuk Kee bersama-sama penasihat kehormat lain, ahli pengasas dan ahli jawatankuasa eksekutif persatuan berkenaan.
TYT Xiao Jianguo dalam ucapannya, memuji usaha persatuan berkenaan dalam mempromosi budaya Cina di mana sejak lima tahun yang lalu, Persatuan Kebudayaan Lukisan dan Seni Kaligrafi Cina terus kekal dengan misi penubuhannya.
Dengan menggunakan berus dan dakwat sebagai jambatan dan lukisan sebagai medium, tambahnya, persatuan berkenaan secara aktif membina platform untuk pertukaran budaya, penganjuran aktiviti-aktiviti kelas yang bermakna, menganjurkan pelbagai aktiviti seperti seminar dan pertukaran budaya.



Beliau berkata usaha seumpama itu, telah meningkatkan pemahaman dan penghayatan budaya Cina dengan ketara di seluruh masyarakat Brunei.
“Persatuan ini bukan sahaja telah menyatukan sekumpulan penduduk tempatan yang meminati seni kaligrafi, lukisan dan warisan budaya tetapi juga secara beransur-ansur berkembang menjadi kuasa utama dalam komuniti Cina Brunei untuk mempromosikan budaya tradisional Cina.”
Melalui usaha padu dan berterusan mereka, TYT Xiao Jianguo percaya ia telah membantu meningkatkan minat dan penghayatan semula budaya berkenaan. Beliau juga menyatakan usaha positif mereka itu, telah menyumbang secara bermakna kepada mendalami lagi persefahaman bersama dan hubungan antara rakyat China dan Brunei di mana ia menjadi contoh cemerlang pertukaran rakyat dengan rakyat antara kedua-dua buah negara kita.
Seni, jelasnya, tidak mengenal sempadan dan kaligrafi serta lukisan mampu untuk menyentuh hati.
Kedutaan China di Negara Brunei Darussalam tidak sabar untuk bekerjasama dengan semua sektor di Brunei, termasuk Persatuan Kebudayaan Lukisan dan Seni Kaligrafi Cina, untuk terus mengukuhkan asas sokongan orang ramai dan hubungan masyarakat untuk persahabatan China-Brunei serta untuk menyumbang lebih banyak lagi kepada membina masa depan bersama China-Brunei.
Sementara itu, presiden persatuan, Richard Jong Ching Sheng dalam ucapannya mengimbas kembali usaha persatuan berkenaan dalam mengetengahkan kerjasama menerusi perpaduan dan dedikasi serta secara aktif mempromosikan bengkel seni kaligrafi, pertandingan Festival Musim Bunga dan Peraduan Kaligrafi ‘Tiga Wilayah’.
“Kami berharap supaya usaha ini dapat diperluaskan kepada kanak-kanak, supaya masyarakat lebih mengenali akan keindahan seni khat dari awal lagi dan menyertai kami dalam menyalakan cahaya yang bersinar untuk budaya Cina.”
Acara kemuncak sambutan itu menyaksikan pemotongan kek ulang tahun oleh TYT Xiao Jianguo bersama ahli pengasas, penasihat kehormat dan jawatankuasa persatuan.

