Saturday, December 28, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seni ukir inai sumber rezeki beliawanis tempatan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Pastinya setiap manusia memiliki kebolehan dan keistimewaan tersendiri yang boleh diterokai untuk mencapai kecemerlangan diri.

    Dengan adanya bakat yang kita miliki, alangkah baiknya jika ia diasah dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

    Jadi kebolehan itu secara tidak langsung dapat meningkatkan prestasi diri sehingga berpotensi besar menyumbang kepada dunia keusahawanan dengan menghasilkan produk yang dapat menjana sumber kewangan sendiri walaupun secara kecil-kecilan.

    “Demi mengisi masa lapang, inilah peluang yang terbaik untuk memanfaatkan anugerah bakat dan kemahiran yang ada ini bersama para penggemarnya terutamanya dalam sama-sama meraikan hari-hari mereka dengan penuh kegembiraan dan keceriaan,” itulah antara yang disampaikan oleh seorang beliawanis tempatan yang memiliki bakat dalam seni ukir inai dan face painting yang lebih senang disapa dengan nama Dayang Aisyah semasa ditemui Media Permata di salah sebuah petak jualan ekspo di ibu negara, baru-baru ini.

    Sentiasa menimba ilmu seni ukir

    Meskipun Dayang Aisyah yang kini berusia 25 tahun baharu sahaja berkecimpung dalam dunia keusahawanan seni ukir penuh kreativiti ini secara sambilan di bawah syarikat ibu saudaranya sejak penghujung tahun lalu, namun beliau yang bersemangat tinggi ini menjelaskan bahawa perlu adanya komitmen dan keazaman yang tinggi dalam menimba ilmu serta terus mengasah bakat dari hari ke hari demi mencapai prestasi yang memuaskan.

    Antara produk inai yang digunakan oleh Dayang Aisyah untuk pelanggannya.
    Setiap gerak geri tangan diadun dengan idea-idea karya yang indah lagi menarik itu sentiasa bermain dalam minda Dayang Aisyah untuk menghasilkan pelbagai seni ukir inai yang begitu memukau mata para penggemarnya.
    Seni ukir inai mengajar Dayang Aisyah erti kesabaran.
    Antara contoh rekaan inai untuk para pelanggan yang diketengahkan oleh Dayang Aisyah.

    “Sememangnya saya tidak pernah mengikuti sebarang kursus atau pembelajaran untuk melukis, namun apa yang pasti saya sentiasa mempelajari segala kaedah atau teknik mengukir serta pembuatan inai asli melalui aplikasi media sosial YouTube sahaja.

    Selain itu, latihan secara berterusan perlu dikekalkan agar segala bakat dan juga kemahiran seni khususnya dalam seni ukir inai ini semakin kemas dan cantik dengan pelbagai idea atau ilham yang menarik demi memberi kegembiraan kepada para penggemarnya,” kongsinya dengan nada penuh keyakinan.

    Seni mendidik jiwa supaya bersabar

    Dalam pada itu, Dayang Aisyah turut mengungkapkan bahawa dunia seni ukir ini sememangnya suatu aktiviti yang mampu mendidik jiwa dan diri dengan nilai-nilai murni seperti banyakkan bersabar terutamanya ketika melukis sesuatu corak dengan penuh teliti yang ditempah oleh setiap pelanggan.

    “Kepuasan dan keceriaan pada wajah setiap pelanggan, itulah detik-detik terindah yang sentiasa bersemadi dalam diri ini yang mana ia secara tidak langsung menjadi pencetus semangat dan keyakinan diri,” tambahnya.

    Langkah penjagaan kualiti inai

    Selain itu, Dayang Aisyah turut menjelaskan bahawa dalam mengaplikasikan inai pada tangan pelanggan, keadaan persekitaran iaitu suhu bilik yang sejuk amat dititikberatkan agar inai tidak rosak dan dapat mengelak daripada mengalami kecairan.

    “Apabila inai sudah kering pada tangan dan mengelupas, pastikan tangan dicuci dengan air biasa dan disarankan menggunakan sejenis baby oil agar kualiti warna inai mampu bertahan lebih lama. Namun perlu diingat juga agar tidak menggunakan sabun semasa membasuh tangan kerana ia boleh menjadikan warna inai semakin memudar atau cepat hilang,” jelasnya lanjut.

    Semailah sikap percaya diri

    Insan yang berjiwa keusahawanan ini turut menjelaskan bahawa segala rezeki dan kekuatan yang diperoleh selama ini adalah berkat doa dan sokongan daripada ahli keluarga serta rakan-rakan seperjuangan sekali gus menjadikannya berani tampil mencurahkan kemahiran yang pastinya salah satu rezeki Illahi.

    “Impian itu pasti ada. Salah satunya untuk memiliki perkhidmatan seni ukir inai secara persendirian suatu hari nanti. Kita pastinya memiliki kelebihan diri masing-masing yang diberikan oleh Allah SWT maka segala bakat itu perlu dihargai dan didalami dengan sebaik-baiknya untuk memajukan status ekonomi diri dan ahli keluarga dari semasa ke semasa,” ucapnya pada akhir pertemuan bersama penulis, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda