Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Feb – Kompleks Membeli-Belah Mabohai terus memberi sokongan kepada individu kreatif dalam seni, pengusaha perusahaan kecil dan sederhana untuk mempamerkan produk dan kemahiran mereka menerusi aktiviti Seni Untuk Semua (ARTS for Everyone) sepanjang bulan Februari ini.
Aktiviti yang diadakan setiap hujung minggu di kompleks berkenaan bermula hari ini dan dibuka untuk kunjungan orang ramai bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang dengan menawarkan pelbagai aktiviti daripada jualan makanan dan minuman sihat, lukisan muka dan lainnya.
Pemilik Mami Sarie Sweet Cookies, Dayang Sarirami binti Abdul Ghani yang turut menyertai acara berkenaan, semasa di temu bual menjelaskan, penyertaan dalam aktiviti anjuran kompleks berkenaan kali ini lebih kepada biskut buatan sendiri yang mana biskut ini mula diperkenalkan pada tahun 2016 dan mendapat sambutan baik daripada orang ramai.
Beliau seterusnya menambah, biskut yang dihasilkan ini berbeza dengan biskut yang lain kerana kami cuba untuk mengurangkan penggunaan bahan manis dalam biskut-biskut yang dihasilkan.

Sementara itu, aktiviti tersebut juga dimeriahkan dengan bengkel asas warna air oleh Designbyeli yang memberi peluang kepada orang ramai untuk memahami penggunaan warna air dengan lebih berkesan dan menarik.
Eliza Hashim yang memberi bimbingan kepada para peserta semasa ditemui menjelaskan, bengkel berkenaan yang dijalankan hari itu turut memberi peluang kepada peserta untuk mengetahui teknik-teknik kaligrafi menggunakan berus warna air.
Sementara itu, pada sebelah petang, peserta bengkel yang terdiri daripada pelajar berpeluang mengetahui teknik asas cara menggunakan warna air dan cara mewarnakan bunga.