MALAYSIA – Dalam hal pilihan warna dan tekstur di dalam rumah, ia mungkin menjadi sesuatu yang membebankan bagi sesetengah orang.
Bagi Dinesh Rao, minda kreatif di sebalik akaun Instagram @myasiankitchen dan bekas pemilik bersama Tray Cafe, itu adalah asas dalam membentuk rumah yang memaparkan pendekatan berani dan suka bereksperimen dalam menggabungkan seni dan warisan.
“Kami melihat apartmen itu semasa pandemik dan berpindah pada tahun 2022,” jelasnya, “selepas tinggal di apartmen yang lebih kecil dalam kawasan yang sama selama beberapa tahun. Tetapi apabila saya mula bekerja dari rumah dan kami mula membela Miso (anjing corgi), sudah tiba masanya untuk ruang yang lebih besar,” tambahnya.
Apartmen tiga bilik hampir 185.8 meter persegi adalah apa yang dicari Dinesh.
“Saya terus tertarik dengan susun atur unit itu dengan tingkap besar dan ruang tamu terbuka,” katanya.
“Salah satu daripada sedikit pembaharuan yang kami lakukan adalah menaikkan siling lebih tinggi sebanyak yang mungkin untuk mencipta rasa luas yang lebih besar,” ujarnya.








Perubahan penting lain ialah mengeluarkan pintu gelangsar yang menuju ke lanai.
“Kami tidak mahu mengekalkannya kerana ia memisahkan bilik dan kami mungkin tidak akan menggunakan ruang itu. Setelah kami keluarkan pintu itu, ia benar-benar membuka ruangan tersebut,” kata Dinesh.
Lanai kini dihiasi dengan tumbuh-tumbuhan yang subur, anjing Magis dan kerusi Papasan untuk suasana yang selesa.
Seni di Rumah
Sememangnya, bahagian ruang tamu utama yang tinggi dan tingkap besar dengan pemandangan yang indah memberi ruang itu rasa seperti mempunyai attic, walaupun Dinesh telah menggunakan hiasan yang sangat berbeza.
Campuran dan padanan adalah elemen utama.
Dinesh menjelaskan, “Saya sengaja memastikan dinding berwarna putih supaya kami boleh bermain dengan tekstur, perabot dan karya seni yang berbeza daripada kepingan yang telah kami miliki dan yang baharu ditambahkan ke dalam rumah.”
Itu bermakna kebanyakan ruang dinding dalam rumah dihiasi dengan seni. Bukan sekadar seni semata-mata, tetapi koleksi sepanjang hayat daripada artis Malaysia kontemporari terkenal, termasuk karya abstrak Nizar Kamal, karya seni berwarna-warni Rafiee Ghani dan potret arang yang unik oleh Ronnie Mohamad tentang anaknya.
Karya seni daripada rakan Dinesh dan cetakan edisi terhad yang aneh dari perjalanan mereka ke Eropah juga menjadi tambahan sempurna ke dalam hiasan tersebut.
“Apabila saya melihat sesuatu ruangan, saya mahu ia praktikal dan berfungsi. Rumah adalah sebuah kediaman dan awda mahu merasa tenteram tinggal di dalamnya. Jika tidak, maka sesuatu dalam rumah itu perlu diubah.
“Apabila hidup awda berkembang dan keutamaan berubah, itulah masanya awda perlu mencari ruang yang sepadan dengan itu, tidak kira betapa besar atau kecilnya ruang itu.
Saya berasa gembira apabila pulang ke rumah sekarang,” kongsi Dinesh.
“Jika awda mempunyai visi tentang apa yang awda suka, maka percayalah kepada naluri awda dan ikutilah ia. Bagi saya secara peribadi, saya sentiasa percaya untuk melabur dalam benda-benda yang unik,” kata Dinesh.
Antaranya termasuk dalam koleksi itu adalah kerusi rehat Eames putih klasik dan kerusi Kartell Papyrus yang moden.
“Walaupun begitu, pada masa yang sama saya tidak mahu segalanya menjadi moden. Jadi saya suka mencampurkan dengan benda-benda zaman pertengahan dan seni yang mempunyai budaya kita di dalamnya,” tambahnya.
Warisan Dinesh yang berketurunan Cina dan India terpancar dengan kuat di dalam rumahnya, tercermin dalam himpunan warisan keluarga, perabot dan barang dapur.
“Saya mengumpul pinggan vintaj, terutamanya koleksi Peranakan tempatan yang mungkin berusia kira-kira 50 tahun. Saya mengumpulnya kerana ia adalah sebahagian daripada sejarah kami,” kongsi Dinesh sambil mengeluarkan laci dapur yang dipenuhi dengan penemuan berharga itu.
“Saya sering pergi ke pasar lambak dan kedai-kedai antik untuk mencari barang. Salah satu koleksi tertua yang saya ada adalah beberapa set pinggan berusia 100 tahun yang saya dapat di Melaka. Walaupun sebahagiannya mengalami kerosakan, saya melihat kecantikannya dan suka menggunakannya untuk sesi gambar makanan saya!” kongsi Dinesh.
Di dapur moden yang sederhana itu, Dinesh mencipta kuih tradisional yang cantik yang menjadikan dirinya dikenali ramai. Perabot antik menambahkan lagi pelbagai budaya, dengan kecenderungan khusus terhadap ‘kepingan yang mempunyai ciri yang unik atau cerita yang awda tidak dapat temui di mana-mana.’
“Saya tidak pernah risau tentang rumah mempunyai estetika tunggal,” ujar Dinesh. “Tetapi saya tahu jika saya suka, ia akan berfungsi,” tambahnya.
Mencampurkan benda, warna, era dan reka bentuk tidak selalu berfungsi, tetapi di situ, ia benar-benar berjaya. Kesannya secara keseluruhan adalah menakjubkan, melimpah dengan minat dan kreativiti pada setiap sudut.
Kualiti dinamik itu berterusan di kawasan bilik tidur utama, dengan tona neutral dan lantai kayu hangat yang seimbang dengan langsir bercetak paisley-and-horse yang unik.
“Apabila saya melihat fabrik itu, ia memberi saya ‘perasaan kebebasan’. Ia datang dengan tanda harga yang tinggi jadi ia membuatkannya sukar untuk difikirkan tetapi kami tahu bahawa ia akan berjaya. Dan ia berlaku!” jelas Dinesh.
Untuk bilik mandi, Dinesh sudah mengeluarkan tab mandi asal yang dipasang pada rumah dan diletakkan di atas meja solek berkembar.
“Kemudian kami bernasib baik, ketika kami melihat-lihat di sebuah kedai dan saya ternampak tab mandi lutsinar berwarna jingga ini. Saya berfikir dalam hati, ‘keajaiban apakah ini?”
“Ia mempunyai daya tarikan tersendiri dan bukanlah sesuatu yang awda akan jangka apabila awda berfikir tentang tab mandi. Sudah jelas kami perlu memilikinya!” gelak Dinesh.
Dipercayai sebagai satu-satunya di Malaysia, tab mandi resin berwarna jingga yang menarik dan cukup menonjol berbanding dengan reka bentuk yang licin dan minimalis di bilik mandi Dinesh.
“Ini adalah cara bagi kami untuk tetap berseronok dan mencipta ruang yang orang selalu tidak menjangkakan, tetapi memberikan yang terbaik,” jelasnya. – ANN/The Star

