Sunday, May 4, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seniman pertama pamer karya di bulan meninggal dunia

    BRUSSELS, 4 MEI – Seniman tersohor Belgium, Paul Van Hoeydonck, yang mencipta sejarah sebagai individu pertama mempamerkan karya seni di permukaan bulan, meninggal dunia pada usia 99 tahun.

    Pemergian tokoh seni itu disahkan oleh keluarganya menerusi satu hantaran di laman Facebook, menyatakan beliau menghembuskan nafas terakhir kelmarin.

    Dilahirkan pada 8 Oktober 1925, Van Hoeydonck dikenali sebagai seniman serba boleh yang menghasilkan pelbagai bentuk karya merangkumi arca, lukisan, kolaj, reka bentuk grafik dan lukisan tangan.

    Namun, beliau terkenal melalui karyanya yang ikonik, Fallen Astronaut – sebuah arca kecil berasaskan aluminium yang ditinggalkan di permukaan bulan oleh kru Apollo 15 pada tahun 1971. Ia dibuat sebagai penghormatan kepada angkasawan yang terkorban dalam perlumbaan angkasa lepas.

    Arca itu menjadi satu-satunya karya seni di bulan selama beberapa dekad dan menjadi simbol persilangan antara sains angkasa dan dunia seni kontemporari.

    Pada Februari 2024, Fallen Astronaut disertai oleh seniman Amerika Syarikat, Jeff Koons, dengan 125 arca mini ke bulan dalam misi baharu. – AFP

    Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda