Seniwari legenda, Sophia Ibrahim telah disahkan meninggal dunia di pusat perubatan KPJ Ampang Puteri pukul 7:15 petang selepas mengalami sesak nafas ketika menghadiri sebuah program.
Menurut Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, jenazah Allahyarham Sophia, 77, telah diuruskan di hospital sebelum dibenarkan untuk dibawa pulang ke kediaman anak saudaranya di Batu Caves.
“Ya, kami dimaklumkan mengenai khabar duka tersebut. Jenazah Allahyarham masih berada di hospital.
“Pihak Karyawan mengucapkan takziah kepada pihak keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya kepada Kosmo! Online.
Sebelum itu, arwah mengalami sesak nafas ketika menghadiri satu program di Hotel Grand Barakah Ampang sebelum dibawa ke pusat perubatan tersebut.
Difahamkan, jenazah Allahyarham Sophia dibawa ke Surau Al Hijrah, Taman Bolton, Batu Caves sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur, Malaysia.
Sophia yang juga kakak kepada penyanyi Datuk Khadijah dan Allahyarham Latif Ibrahim mula aktif di pentas hiburan sejak era 1960-an. Antara filem lakonannya adalah Dr Rushdi yang diarah dan dibintangi Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada 1970.
Terdahulu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Setiausaha Politik, Farhan Fauzi pada Ogos tahun lalu menghulur sumbangan kepada Sophia bagi meringankan kos pembedahan katarak mata yang mengganggu fungsi penglihatannya. – Agensi
