Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Senja di bulan Ramadan

    (Siri 2)

    Oleh Fauzye –

    Malam itu, Anisa masih terkenangkan semula peristiwa yang berlaku pada Disember tahun lalu.

    Jelas dia masih menyimpan rasa bersalah. Kalau saja dia memilih untuk mendengar lagi pengakuan Amiza, tentu saja adik perempuannya itu tidak akan keluar dari rumah tinggalan orang tua mereka.

    Gara-gara peristiwa diserang jiran simpang sebelah rumah mereka itu, ditambah pula kata-kata Anisa yang mungkin membuatkan Amiza remuk hati telah membuatkan gadis berusia 19 tahun itu nekad untuk keluar dari rumah membawa hati yang berduka lara.

    Anisa memang terkejut mendengarkan pengakuan perempuan bernama Kalsom dan suaminya Kadir itu, malah sempat juga dia menyimpan rasa curiga terhadap Amiza namun apabila mengenangkan kata-kata adiknya yang berkali-kali mengatakan dia difitnah, Anisa mula yakin adiknya tidak bersalah dan tidak akan berani mengganggu suami orang.

    Sudahlah topik tentang penyondol, pelakor dan perampas sedang hangat diperkatakan di mana-mana sekarang, tak mungkin Amiza akan terikut-ikut melakukan hal sedemikian.

    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    “Masih kau fikirkan kejadian atu? Jangantah luan difikirkan sangat. Doa-doa saja mudahan si Miza atu balik ke rumah semula lai!”

    Malam itu, Naemah adik bongsu arwah ibu Anisa datang menziarah. Kedua-duanya kemudian saling berbual pada malam yang sunyi dan hening itu.

    “Awu bungsu, perasaan bersalah ku ani masih menghantui kediaku bah.

    “Kalau saja ku dengar cakap si Miza atu lagi dan cuba banar-banar tegah ia dari keluar rumah, mesti ia inda kan keluar dari rumah ani.

    “Rinduku kan kedia. Di telefon bukannya ia mahu menjawab. Kan dijumpai di kolejnya, takut ku ia makin lari karang,” luah Anisa. Ada nada keluhan di hujung bicaranya.

    “Faham ku cakapmu atu. Bungsu ani pun sudah puas bekunyanyang arahnya menyuruh mulih, belum ia mahu.

    “Biar tia ia ikut tinggal sementara dulu arah rumah kawan baiknya si Nina, katanya.

    “Lagi pun mama bapa si Nina atu baik kan kedia. Masih terusik jua hatinya kena fitnah atu.

    “Balik-balik jua ia bepadah inda ia pernah kali-kali kan mengacau laki si Kalsom atu.

    “Bungsu cakap yang kau sama Aizat rindukan ia pun kedia membisu saja,” cerita Naemah yang membahasakan dirinya bungsu sambil memandang raut wajah Anisa yang kelihatan sugul itu.

    “Baik jua ia ada menghubungi kita. Sekurang-kurangnya tahu jua ku khabarnya. Ganya iatah tu, berharap sangat ia mulih ke rumah ani semula.

    “Puasa pun inda lagi lama. Apa-apa pun, aku tetap percaya si Miza inda akan berbuat onar,” ucap Anisa. Naemah pantas mengangguk. “Bungsu pun yakin si Miza atu inda akan mengacau laki si Kalsom atu.

    “Si Kalsom atu bukannya kan menyelidik dulu. Main tuduh-tuduh saja. Sekeping gambar yang lakinya lihatkan kedia atu belum tentu menggambarkan apa yang lakinya tuduh si Miza atu. Sabar saja. Kebenaran pasti terungkap.

    “Mudahan nama si Miza dapat dibersihkan dan balik semula ke rumah, Insya Allah,” lantas Naemah terus memeluk erat Anisa.

    Ada perasaan lega dalam diri Anisa ketika itu setelah tamat berbual dengan ibu saudaranya yang nyata memahami isi hatinya itu.

    Naemahlah yang menjadi ibu kedua kepada Anisa dan adik-adiknya sekarang selepas kematian kakak dan abang iparnya. Anisa dan adik-adiknya itu sudah dianggapnya seperti anaknya sendiri.

    Nasib baik juga mereka tinggal bersebelahan rumah sahaja jadi senang untuk mereka berjumpa dan berziarah.

    RAMADAN 1445H

    Tak terasa sekarang sudah memasuki dua minggu umat Islam menunaikan ibadah puasa.

    Apa pun yang dihadapi ketika ini, Anisa tetap cuba menjalaninya dengan tenang.

    Walaupun hati kadangkala galau dan kadangkala terselit kerinduan pada ibu, ayah dan adiknya, namun Anisa hanya mampu memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa agar selalu diberi kekuatan melalui liku-liku kehidupan sambil berdoa agar hati Amiza akan dilembutkan untuk pulang semula ke rumah serta berdoa agar roh ibu serta ayahnya akan dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh serta solehah.

    Petang itu, semasa sedang menyiapkan juadah untuk berbuka, Anisa terdengar bunyi siren kenderaan polis yang amat nyaring.

    Bunyinya seakan-akan tidak jauh dengan kawasan simpang rumah mereka. Anisa kaget namun cuba buat tak endah selepas itu. Ketika itu juga cuti semesternya baru saja bermula hingga pertengahan Syawal.

    Sedang dia leka berada di dapur menyediakan juadah berbuka puasa, dia tidak menyedari sudah sejam lebih dia berada di dapur waktu itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda