SEOUL, 2 DIS – Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin hari ini mengatakan cita-cita China untuk membangunkan senjata hipersonik ‘menambahkan lagi ketegangan di rantau itu’ dan berikrar AS akan mengekalkan keupayaannya untuk menghalang potensi ancaman oleh China.
Austin berkata demikian semasa rundingan keselamatan tahunan di Seoul dan kenyataannya dibuat selepas Pentagon pada Isnin mengeluarkan keputusan kajian kedudukan global yang menekankan kerjasama tambahan langsung dengan sekutu untuk menghalang ‘potensi penindasan tentera China dan ancaman dari Korea Utara.’
Armada tentera China yang semakin meningkat dan kempennya untuk menamatkan dominasi AS di Asia mencetuskan ketidaksenangan di Washington.Ia diserlahkan lagi dengan ujian senjata hipersonik pada Julai yang berupaya mengorbit separa di bumi sebelum memasuki atmosfera dan meluncur ke laluan yang digerakkan ke arah sasarannya.
Pakar mengatakan sistem senjata itu jelas sekali direka untuk mengelak pertahanan misil AS, meskipun China menegaskan bahawa ia hanya menguji kenderaan angkasa guna semula, bukannya misil. – AP
