Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Senjata rahsia ramai pemancing

    Oleh Raz AS –

    Ada yang menggelarnya sebagai stickbait, ada pula yang menamakannya sebagai walking bait, manakala di negara kita kebanyakan pemancing mengenalinya sebagai pensil. Tidak kiralah mahu menggelarnya sebagai apa namun yang pastinya ia merupakan sejenis umpan tiruan atau lure yang sering dikaitkan sebagai salah satu varian lure aksi permukaan.

    Stickbait bukanlah lure yang baru muncul di arena pancing, selama beberapa dekad terutamanya beberapa tahun kebelakangan ini, ia telah melalui pelbagai proses penghalusan dan pengubahsuaian untuk meningkatkan lagi keberkesanannya menggoda sang ikan.

    Daripada yang bersaiz mikro berukuran 2 inci untuk menangkap ikan-ikan saiz kecil hinggalah berukuran besar untuk memburu ikan gergasi seperti GT, tuna dan sebagainya, stickbait diperbuat daripada pelbagai jenis bahan sama ada keras atau lembut.

    Meskipun secara amnya stickbait selalu dikaitkan sebagai lure aksi permukaan, namun begitu sebenarnya ia juga datang dalam pelbagai bentuk dan model untuk aksi pertengahan dan tenggelam, yang mana penggunaannya bergantung pada situasi padang pancing dan spesies yang diburu.

    Stickbait dipercayai dicipta dan mula digunakan serta dikembangkan pada tahun 1910.

    Stickbait boleh didapati daripada yang bersaiz mikro berukuran 2 inci untuk menangkap ikan-ikan saiz kecil hinggalah berukuran besar untuk memburu ikan gergasi seperti GT. – GAMBAR OLEH JOHN CRUZ

    Berbeza daripada lure lainnya, stickbait tidak mempunyai aksi renangannya sendiri seperti mana kebanyakan lure yang mempunyai lidah atau bibs, kepingan besi atau blade, skirt dan lain-lain yang membantu menghasilkan aksi renangan sebaik sahaja gulungan dilakukan.

    Oleh yang demikian, sekiranya gulungan dilakukan tanpa sebarang input daripada pemancing, ia hanya akan membelah air dengan kaku bak sebatang kayu atau ranting yang diikat di hujung tali pancing.

    Stickbait boleh dibandingkan dengan lure lain seperti popper yang juga memerlukan input daripada pemancing cuma bezanya ia tidak mempunyai cup pada kepalanya. Meskipun kadang-kadang popper juga dikategorikan sebagai stickbait, akan tetapi ia terserah mengikut pendapat masing-masing. Di sini, penulis lebih suka membezakan keduanya hanya kerana popper mempunyai cup dan terhad kepada aksi permukaan sahaja.

    Berbanding popper yang menghasilkan percikan air dan buih di permukaan melalui aksi jerking, twitching dan sebagainya, stickbait pula mempunyai aksi yang lebih senyap iaitu aksi pergerakan side to side dan aksi gliding atau walk the dog yang meniru renangan ikan yang tercedera.

    Memandangkan ia memerlukan input tanpa henti daripada pemancing, ia boleh menyebabkan pemancing cepat letih dan kurang berminat untuk menggunakannya. Namun begitu sebenarnya stickbait merupakan salah satu lure yang memang diakui keefektifannya di serata dunia.

    Ini terbukti apabila ramai pemancing profesional di seluruh dunia gemar menggunakan stickbait sebagai ‘senjata rahsia’ mereka dan mengesyorkan penggunaannya apabila ikan kurang aktif atau ketika memancing di kawasan yang menerima tekanan tinggi daripada aktiviti memancing.

    Apabila lure jenis bising seperti popper dan sebagainya tidak menerima sambutan, malah sebaliknya menakutkan ikan, stickbait boleh digunakan sebagai alternatif untuk pendekatan yang lebih senyap.

    Meskipun begitu, terdapat juga stickbait yang mempunyai mekanisme menghasilkan bunyi di dalamnya seperti bebola besi dan lain-lain, yang juga biasa didapati pada lure lain. Ini bergantung kepada pemancing sama ada ingin menggunakan stickbait jenis senyap atau bising mengikut kesesuaian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda