HUNGARY – Gelato berperisa sayur-sayuran, ada sesiapa yang berminat? Pelanggan yang teruja dan ingin tahu rasaya telah berpusu-pusu dari seluruh Hungary untuk merasakan sensasi paling aneh pada musim panas di sebuah kedai ais krim kecil yang menyajikan hidangan tradisional Hungary yang lazat.
Robert Reinhardt dan perisa aiskrim yang mencabar cita rasa yang dihasilkannya telah menjadi kegemaran serta-merta, mencetuskan kegemparan dalam media sosial.
“Kami bermula dengan perisa penkek kentang. Itu sudah cukup untuk membuatkan ramai orang terkejut,” kata lelaki berusia 44 tahun itu, yang mengendalikan Roberto Confectionery di bandar Tatabanya di utara Budapest, kepada AFP.
Selepas menerima permintaan untuk mencipta perisa baharu daripada orang ramai dalam talian, Reinhardt mula melakukan eksperimen, mencampurkan hidangan tradisional Hungary seperti ayam paprika, rebusan kubis dan penkek daging yang padat dengan pelbagai asas ais krim.
TANPA HAD
Tetapi dia tidak mengehadkan dirinya kepada masakan Hungary sahaja, malah memperluaskan menunya untuk merangkumi kegemaran sepanjang masa seperti spageti Bolognese dan telur hancur dengan daging.
“Saya sedar bahawa awda boleh menghasilkan rasa yang sangat baik daripadanya. Ini bukan jenaka,” kata Reinhardt, yang menjual ais krimnya pada harga 500 forint (1.27 euro) satu sudu.
Perniagaan dikedainya telah meningkat sebanyak “tiga atau empat kali ganda” sejak media Hungary mula-mula mendapat skop mengenai layanan luar biasanya, kata isterinya Ena.
“Kami agak terharu kerana kami tidak menjangka ia akan menjadi begitu popular,” katanya kepada AFP.
“Kami sentiasa mencari lebih ramai pekerja,” ujarnya.
Setakat ini aiskrim berperisa savouri mendapat sambutan baik daripada kalangan pelanggan, walaupun ada yang mengakui ia memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan rasanya.
“Saya fikir ia akan menjadi sangat luar biasa, tetapi rasanya sedap,” kata tukang urut, Ildiko, yang enggan memberikan nama penuhnya, selepas mencuba semua perisa secara percuma sebelum membuat pilihannya.
“Sup tomato, keju kambing biri-biri dengan dill dan keju goreng adalah yang terbaik,” katanya kepada AFP, sambil menambah bahawa dia akan kembali untuk mendapatkan lebih banyak lagi.
Namun ada yang kurang bersemangat.
Krisztian Kiss, seorang peguam berusia 43 tahun dari barat laut negara itu berkata dia mungkin tidak akan kembali ke sana.
“Saya terpaksa mencuba idea pelik ini,” katanya sambil memuji keaslian rasa aiskrim itu.
Anak lelakinya Zeteny yang berusia 10 tahun kurang teruja, dengan mengatakan bahawa ia adalah ‘perasaan yang sangat pelik’ apabila mencuba sesuatu yang masin, sedangkan lidahnya ‘terbiasa dengan benda yang manis’.
Walaupun pendapat di media sosial berbelah-bahagi apabila pengkritik menyifatkan aiskrim yang baharu itu sebagai menjijikkan, siaran mengenai rasa pelik itu telah ditonton oleh puluhan ribu kali, malah ada yang mencecah sejuta tontonan.
Berdasarkan permintaan berterusan untuk tawarannya, Reinhardt merancang untuk membuka kedai kedua di ibu negara sambil terus menyediakan perisa baharunya walaupun pada musim sejuk. – AFP