LONDON, 31 Jan – Lima kelab Liga Perdana Inggeris di London disiasat selepas didakwa terbabit dalam penderaan seksual dalam bola sepak, Perkhidmatan Polis Metropolitan berkata kelmarin.
Polis Metropolitan London berkata, mereka telah menerima 255 dakwaan membabitkan 77 individu dalam kelab bola sepak di seluruh London.
Ini termasuk lima kelab utama liga, Arsenal, Chelsea, Crystal Palace, Tottenham dan West Ham dengan polis turut berkata, enam kelab dalam tiga liga juga dikaitkan dengan siasatan berkenaan termasuk 66 kejohanan bukan liga, liga tidak profesional ataupun pasukan amatur yang turut dinamakan dalam aduan berkenaan.
“Pada 8 Disember 2016, Perkhidmatan Polis Metropolitan mengesahkan mereka telah melancarkan siasatan ke atas dakwaan pencabulan seksual bukan baru di kelab-kelab bola sepak di London,” kata kenyataan itu.
“Sehingga 30 Januari, pasukan penyiasatan dengan para pegawai dari Perintah Kesalahan Seksual, Eksploitasi dan Penderaan Kanak-kanak telah menerima 255 tuduhan berasingan. Dakwaan tersebut berkaitan dengan individu di 77 kelab atau pasukan.”
Ketua Penguasa Detektif, Ivan Balhatchet dari Polis Metropolitan berkata: “Ada pegawai pakar akan ditugaskan untuk setiap maklumat yang disalurkan kepada mereka.”
Siasatan polis London itu adalah salah sebuah jabatan pusat yang turut melakukan siasatan penderaan seksual dalam bola sepak dengan mempunyai lebih daripada 500 aduan dilaporkan dan memiliki 184 suspek berpotensi yang dikenal pasti.
Secara keseluruhan jumlah kelab bola sepak yang telah dinamakan dalam siasatan itu berjumlah 248 mengikut angka yang dikeluarkan NPCC awal bulan ini.
NPCC telah bersusah-payah untuk menunjukkan bahawa tidak semua yang dinamakan berada di bawah siasatan tetapi telah dirujuk apabila maklumat dikemukakan.
Bilangan yang mendakwa sebagai mangsa berjumlah 526 orang dengan mangsa paling muda berusia empat tahun dan 97 peratus daripada mereka adalah lelaki dengan 184 suspek yang berpotensi telah dikenal pasti.
Tidak semua mangsa atau pelaku datang daripada sukan bola sepak dengan 10 sukan lain terbabit termasuk ragbi, gimnastik, seni mempertahankan diri dan olahraga.
Skandal itu meletup November lalu apabila Woodward menjadi perhatian umum apabila mendakwa menjadi mangsa penderaan di Crewe Alexandra.
Pemain bekas profesional lain juga menjadi perhatian umum dari Chelsea semasa era sebelum Roman Abramovich membeli kelab itu, di mana mangsa mendakwa telah dicabul oleh pengakap kelab Eddie Heath pada 1970-an. – AP/AFP