Oleh Nurdiyanah R.
Diberi nama buah naga, bentuknya yang unik, bulat, berwarna merah dan memiliki lapisan kulit luar seperti duri belum cukup ‘menggerunkan’ seperti namanya namun ia mempunyai rasa yang manis dan masam serta mengandungi banyak khasiat tersendiri.
Buah eksotik tropika yang berasal dari Amerika Tengah ini mempunyai variasi warna isi sama ada merah keunguan, putih dan kuning dan agak berair serta berbintik-bintik hitam seperti buah kiwi boleh dijadikan jus atau dimakan begitu sahaja.
Sebelum membicarakan tentang manfaatnya yang banyak, terdapat fakta menarik mengenai buah ini, antaranya buah naga tumbuh pada pokok kaktus pitaya yang besar dengan batangnya berbentuk segi tiga, berduri pendek sehingga sering dianggap ‘kaktus tak berduri’.
Pohonnya juga akan mengeluarkan bunga yang mekar pada awal senja jika kuncup bunga sudah berukuran sekitar 30sm.
Mahkota bunga bahagian luar yang berwarna putih kekuningan, mekar sekitar pukul 9 malam, lalu disusuli putik bahagian dalam yang putih bersih, meliputi sejumlah benang sari yang berwarna kuning.



Bunga seperti corong itu akhirnya terbuka penuh pada tengah malam, kerana itu buah naga dikenal sebagai night blooming cereus, ketika ia mekar penuh, buah naga mengeluarkan bau yang harum. Aroma tersebut akan menarik perhatian serangga dan kelawar, yang bertindak sebagai agen pendebungaan.
Bunga ini biasanya kembang hanya untuk satu malam dan selepas subuh, bunganya mula kuncup. Yang menarik ialah kaktus ini berupaya menyimpan air. Tidak hairanlah buah naga mengandungi 80 peratus air, selain kandungan vitamin C yang tinggi berbanding tembikai dan epal.
Miliki khasiat tersendiri
Dari segi khasiatnya, buah naga dikatakan mampu memberi perlindungan kepada tubuh daripada proses penuaan yang mana ia dapat membantu mengekalkan keanjalan dan keremajaan kulit.
Dengan kata lain, ia adalah salah satu buah sebagai sumber yang baik untuk mendapatkan manfaat antioksidan kerana ia mengandungi vitamin C.
Selain kaya dengan vitamin C, buah naga juga mengandungi karotena yang dikaitkan dengan antikarsinogen termasuk mengurangkan jumlah penghasilan tumor.
Kandungan likopena yang berfungsi memberi warna merah kepada buah naga juga sering dikaitkan dengan manfaatnya dalam mengurangkan risiko mendapat kanser prostat.
Buah naga membantu meningkatkan kesihatan jantung kerana ia mampu mengurangkan tahap kolesterol tidak baik. Hal ini kerana ia mengandungi sumber lemak garam mono yang membantu mengekalkan kesihatan fungsi jantung. Dalam pada masa yang sama, buah ini juga dapat membantu menstabilkan tahap gula dalam darah seseorang.
Di samping itu, ia juga dapat membantu memperbaiki pergerakan usus dengan memudahkan laluan di bahagian saluran penghadaman. Pengambilan buah ini boleh membantu mengurangkan masalah sembelit dan sindrom gangguan usus.
Sentuhan kulinari dari buah naga
Selain menikmati buah naga segar begitu sahaja, kita juga dapat menjadikan isi buahnya sebagai bahan utama untuk pelbagai sentuhan kulinari tertentu. Salah satunya ialah puding buah naga yang terdiri dari bahan-bahannya merangkumi serbuk agar-agar, air, gula, susu cair dan semestinya buah naga yang dipotong kecil.
Ini diikuti dengan memasukkan serbuk agar-agar, gula dan air ke dalam periuk dan masak sehingga mendidih. Kemudian susu cair dikacau rata ke dalam adunan mendidih tadi. Setelah itu, tuangkan gabungan bahan-bahan itu ke dalam loyang dan biarkan sejuk seketika sebelum disimpan ke dalam peti sejuk.
Selain itu, buah naga juga enak dijadikan jus segar berais. Dengan memasukkan isi buah naga dalam mesin pengisar bersama air, aiskrim soda dan susu pekat sehingga hancur. Kemudian tuang bahan-bahan kisaran itu ke dalam gelas. Begitu mudah sekali namun jika ingin lebih segar tambahkan ketulan ais ke dalam jus tadi.