CHENGDU, China, 27 Jun – Setiap malam Jumaat, petinju saling berbalas tumbukan dalam gelanggang di Kelab Monster di barat daya China, bertanding untuk bayaran AS$75 tatkala penonton bersorak.
Usaha sama di Chengdu ini dimiliki oleh bekas penghuni Chicago yang diilhamkan oleh filem Amerika Syarikat 1999 ‘Fight Club’ yang dibintangi oleh Brad Pitt dan Edward Norton sebagai pencipta kelab bawah tanah petinju profesional.
Huoche, lelaki dalam umur 30an yang enggan memberikan nama penuh dan umur sebenarnya, menubuhkan kelab itu pada November 2015.
Lebih daripada 4,000 petinju telah berlawan dalam kira-kira 2,000 pertarungan sejak itu.
Peserta mendaftar di internet dan Huoche menggabung mereka mengikut tahap mereka, berat dan tahun pengalaman.
Memakai seluar pendek sutera dan sarung tangan, mereka bertarung di gelanggang seluas 16 meter persegi di depan kira-kira 120 penonton.
“Orang mengenali kami disebabkan kami menghormati petinju, kami menghormati pentas,” kata Huoche.
Kelab itu mengadakan empat hingga lima perlawanan pada malam pertarungan.
MMA menarik perhatian di China baru-baru ini selepas satu video tersebar menunjukkan seorang petinju seni mempertahankan diri membelasah seorang guru tai chi dalam beberapa saat.

Kekalahan itu mencetuskan satu perdebatan mengenai pertalian seni mempertahankan diri tradisional ketika menghadapi sukan MMA yang moden dan kejam yang telah menjadi sensasi global.
Huoche mahu menukar kelab kepada “kad nama” Chengdu. Petinju dari 28 buah negara telah datang untuk bertarung di sini.
“Kelab Monster milik semua petinju biasa,” katanya.
Namun Huoche dan rakannya gagal mencukupkan perbelanjaan mengendali Kelab Monster.
“Kami bimbang dengan 20,000 yuan sewa setiap bulan,” katanya.
Mereka juga terpaksa menghadapi dan mengatasi persoalan tentang status kelab disebabkan kekurangan peraturan berhubung pertubuhan sedemikian.
Mereka telah dikunjungi oleh polis tetapi beliau akhirnya menerima permit yang diperlukan. – AFP