Sentiasa amalkan sikap berpada-pada

Tidak salah meminati seseorang artis, namun perlu berpada-pada dan usah terlalu taksub hingga mencetuskan situasi kurang sihat dalam industri hiburan.

Artis versatil, Alif Satar berkata, setiap individu mempunyai hak untuk menyatakan sokongan mereka, namun perlu ada batasan supaya tidak menimbulkan perasaan kurang selesa pada orang lain.

Alif baru-baru ini, menjadi mangsa kecaman peminat fanatik BTS apabila mempertahankan lagu Boy With Luv dinyanyikan lapan orang, sedangkan kumpulan K-pop popular itu hanya dibarisi tujuh anggota.

“Perkara ini tidak patut diambil terlalu serius. Saya cakap perkara yang betul kerana lagu itu dibawakan lapan penyanyi, termasuk Halsey. Kelakar apabila membaca setiap komen di laman sosial. Sebelum ini, ada yang mengusik BTS adalah akronim kepada Bandar Tasik Selatan hingga menimbulkan kemarahan peminat kumpulan itu,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, biarpun dikecam, dia bersyukur masih ada kelompok peminat BTS yang rasional dan menyokong pandangannya.

Sementara itu, Alif bakal beraksi bersama Raihan menjayakan Konsert Countless Blessing di Stadium Juara, Kompleks Sukan Bukit Kiara pada 2 November ini. – Agensi

Alif baru-baru ini, menjadi mangsa kecaman peminat fanatik BTS. – Agensi