Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Sentiasa berfikiran positif, urus masa sebaiknya

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Impian untuk mendapatkan segulung ijazah dalam apa pun bidang yang diceburi bukanlah suatu perkara yang mudah bagi setiap graduan setelah sekian lama bekerja keras selama beberapa tahun demi mencapai impian yang diharapkan, bak kata pepatah ‘Yang bulat tak datang bergolek yang pipih tak datang melayang’ begitulah juga untuk mendapatkan ijazah dan sijil.

    Dengan berbekalkan usaha, kegigihan dan kecekalan hati seseorang graduan, akhirnya mampu menamatkan pengajian mereka dengan turut didorong oleh sokongan daripada ibu bapa, keluarga, rakan-rakan, dan pendidik yang penuh berdedikasi.

    Pada Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) ke-29 tahun ini, seramai 1,893 orang graduan telah diraikan pada majlis tersebut yang diadakan selama tiga hari di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Kegembiraan jelas terpancar di wajah para graduan yang diraikan pada majlis berkenaan meskipun diadakan dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan tanpa kehadiran ibu bapa dan keluarga tercinta.

    Berhasrat ceburi perniagaan hidroponik

    Salah seorang graduan Sijil Tertinggi Kebangsaan Pendidikan Teknikal (HnTec) dalam Agrotechnology Specialized in Crop yang merupakan penerima Anugerah Pelajar Terbaik, Awang Muhammad Najwan bin Anuar ketika ditemui pihak media turut berkesempatan mengongsikan pengalamannya di sepanjang pengajiannya di IBTE.

    Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik kepada Kaylle Marie Roxas Ramos semasa Majlis Konvokesyen IBTE ke-29 di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
    Awang Muhammad Najwan penerima Sijil Tertinggi Kebangsaan Pendidikan Teknikal (HnTec) dalam Agrotechnology Specialized in Crop yang juga merupakan penerima Anugerah Pelajar Terbaik.
    Impian untuk mendapatkan segulung ijazah dalam apa pun bidang yang diceburi bukanlah suatu perkara yang mudah bagi setiap graduan setelah sekian lama bekerja keras selama beberapa tahun demi mencapai impian yang diharapkan. – Gambar hiasan
    Seramai 1893 orang graduan IBTE telah diraikan pada Majlis Konvokesyen IBTE ke-29 pada tahun ini.

    Menurutnya, sama seperti pelajar yang lain juga tidak terkecuali dalam menghadapi cabaran di masa pengajiannya di IBTE lebih-lebih lagi di masa pandemik COVID.

    “Cabarannya, ada masanya saya berasa sukar dalam menghadirkan diri ke aktiviti luar kerana keadaan yang tidak mengizinkan seperti tidak ada pengangkutan dan tidak mencukupi masa, tetapi Alhamdulillah saya telah dapat mengatasinya dengan pertolongan daripada keluarga saya,” jelasnya.

    Mengulas mengenai rahsia kejayaannya sehingga berjaya menamatkan pengajian sekaligus dianugerahkan dengan anugerah pelajar terbaik semasa majlis konvokesyen berkenaan ialah beliau seorang yang sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi apa saja situasi pegajian beliau di IBTE.

    Ketika ditanya mengenai rancangannya setelah menamatkan pengajian, Awang Muhammad Najwan berkeinginan untuk menceburi ke dalam bidang perniagaan.

    “Insya Allah, selepas ini saya akan cuba membuka perniagaan hidroponik dengan belajar sambil bekerja di tempat kerja yang bersesuaian terlebih dahulu seperti bekerja di ladang yang terdapat di negara ini,” jelasnya.

    Beliau turut tidak menafikan kejayaan yang beliau capai pada hari ini datangnya daripada sokongan dan bantuan daripada orang tua dan tenaga pengajarnya.

    Oleh itu, beliau pada masa yang sama juga tidak ketinggalan untuk mengucapkan setinggi penghargaan kepada mereka yang banyak membantunya di sepanjang pengajiannya di IBTE.

    “Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ibu bapa saya yang sentiasa menolong saya. Di samping itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua tenaga pengajar yang telah mengajar saya di kampus terutamanya dalam bahagian industri tanaman,” tambahnya lagi.

    Teruja terima anugerah pelajar terbaik

    Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Pelajar Terbaik yang diraikan semasa majlis konvokesyen berkenaan, Kaylle Marie Roxas Ramos yang merupakan graduan Advanced Diploma in Maxillofacial, Facial Plastic and Reconstructive Surgery (on-the-job training for nurses) di Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) juga turut mengongsikan keterujaannya apabila dipilih sebagai penerima anugerah tersebut sekaligus menjadi penerima pertama daripada kalangan warga Filipina.

    Walau bagaimanapun, memandangkan beliau juga turut bekerja sambil belajar sudah pasti beliau merasakan cabaran yang begitu berat sekali untuk dipikul.

    Namun hasil daripada pengurusan masa yang baik dan sokongan daripada rakan seperjuangan dan mentornya membolehkan beliau mencapai kejayaan yang diperolehi pada hari ini.

    “Saya ingin menyumbang kembali ke negara ini dan berbakti kepada masyarakat serta kepada para pesakit. Saya cukup bersyukur atas peluang yang telah diberikan kepada saya ini oleh IBTE dan PJSC,” jelasnya lagi.

    Pada masa yang sama Kaylle Marie Roxas Ramos turut tidak ketinggalan memberikan nasihat kepada para pelajar yang masih berjuang pada ketika ini supaya tetap bertenang dan menikmati proses pembelajaran masing-masing serta berusaha untuk mendapatkan sebanyak mungkin ilmu pengetahuan semasa menuntut di sana dan bukan hanya memikirkan keputusan sahaja.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...