Saturday, May 10, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sentiasa bersangka baik

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Umat Islam dituntut untuk sentiasa berfikiran positif dan tidak mudah berputus asa serta menjauhkan diri daripada bersangka buruk walau apa pun rintangan dan dugaan yang melanda mereka.

    Ini kerana segala dugaan dan cabaran yang dihadapi merupakan ujian daripada Allah S.W.T, menurut khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini, seterusnya menganjurkan umat Islam sentiasa bersangka baik kepada Allah S.W.T dan sesama manusia.

    Menurut khatib lagi, Allah S.W.T tidak akan menguji hamba-hambaNya di luar kemampuan mereka sendiri kerana Allah S.W.T mengetahui apa yang terbaik untuk kita. “Walaupun perkara itu sesuatu yang kita benci, namun janganlah cepat bersangka buruk terhadap Allah S.W.T seperti mengeluh, merintih, marah jika doa dan hajat kita lambat atau belum dimakbulkan dan sebagainya,” katanya.

    Bersangka baik itu sangat dituntut dalam Islam kerana ia dapat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T, mengelak permusuhan sesama manusia dan yakin bahawa setiap yang berlaku ada hikmahnya.

    Khatib menjelaskan lagi, “Kita hendaklah reda dengan ketentuan Allah S.W.T kerana bersangka baik banyak kebaikan dan kelebihannya antaranya sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T serta mengelakkan manusia dan umah daripada berpecah-belah.”

    Di samping itu, ia dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat tercela, sentiasa merasa bahagia atas kejayaan yang dicapai oleh orang lain dan hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih erat dan baik.”Sesungguhnya apa dimaksudkan dengan berbaik sangka ialah tidak memandang diri lebih baik, lebih bagus, lebih afdal dan lebih tinggi daripada sesiapa. Jika ternampak sesuatu yang boleh membawa kita bersangka buruk kepada orang lain, maka carilah alasan untuk keluar daripada sangkaan buruk tersebut agar kita dapat bersangka baik dengannya,” jelas khatib.

    Khatib juga menyeru umat Islam untuk membuang sifat bersangka buruk daripada diri mereka dengan kembali kepada ajaran agama Islam yang sebenar.

    Salah satu caranya ialah dengan memperbanyakkan istighfar dan memohon taubat kepada Allah S.W.T kerana manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa.

    Sesungguhnya agama Islam mengajar umatnya agar memiliki hati yang suci, bersih dan tidak mudah menaruh persangkaan buruk terhadap Allah S.W.T dan sesama insan. Sebagai umat Islam yang inginkan keharmonian dan kebahagiaan dalam kehidupan, maka sewajarnya bersangka baik untuk perpaduan dalam kehidupan berkeluarga, beragama, bermasyarakat dan bernegara, ujar khatib.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda