BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD) menasihatkan para pemandu di jalan raya dan para pelaut supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
BDMD mengeluarkan nasihat tersebut ketika Negara Brunei Darussalam masih berada dalam monsun barat daya yang dipengaruhi angin tempatan dan keadaan cuaca yang dijangka aktif sehingga hujung minggu ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, BDMD menjelaskan bahawa hujan di kawasan pesisiran dan hujan berpetir di kawasan pedalaman dijangka berlaku pada waktu petang, kemudian bergerak ke kawasan laut pada waktu malam.
Selain itu, keadaan hujan sekali-sekala dijangka berlanjutan sehingga waktu pagi dan hujan dijangka lebat sekali-sekala dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj.
Manakala itu, di kawasan perairan, ketinggian ombak dijangka meningkat sehingga 1.0 m semasa hujan.
BDMD juga ingin menasihatkan orang ramai untuk mengambil perhatian akan risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan juga bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin.
BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca serta menyarankan orang ramai supaya mengikuti maklumat cuaca terkini dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial media Facebook, bruneiweather, Instagram di @bruneiweather dan aplikasi bimbit Brunei WX.