Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Setiap kemenangan itu perlu disambut dengan takbir dengan berzikir membesarkan Allah.
Hari Raya Aidilfitri merupakan hari gembira untuk umat Islam yang dituntut untuk merayakannya tapi tuntutan tersebut bukan untuk bersuka-suka kosong saja tapi kesukaan itu adalah untuk kemenangan dalam satu perjuangan besar iaitu perjuangan melawan hawa nafsu.
Mufti Kerajaan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dalam Khutbah Hari Raya Aidilfitri kelmarin turut mengingatkan umat Islam bahawa dalam merayakannya janganlah sampai lupa kepada Allah.
Menurut Yang Berhormat Pehin, zaman yang penuh dengan pancaroba dan penuh dengan bahaya terutama bahaya kepada iman dan Islam, umat Islam dan negara perlu mencari jalan untuk menyelamatkan dari semua perkara ini.
“Caranya adalah dengan berzikir mengingat Allah, Allah akan mengingat kita semula yang mana ingatan Allah itulah punca segala keselamatan,” jelasnya.
Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, yang dinamakan kepala zikir ialah Al-Quran dan ibadat sembahyang di mana Al-Quran menurut Allah sendiri adalah penawar dan rahmat iaitu penawar segala penyakit zahir dan penyakit yang tersembunyi.

Sementara rahmat pula adalah apa juga bentuk nikmat iaitu nikmat rezeki, nikmat pahala sampai kepada nikmat perlindungan dan pertolongan Allah kerana itulah juga nikmat.
“Ini sama juga dengan sembahyang, ia adalah cahaya dan perisai penyelamat bagi segala kejahatan dan bencana,” tegas Yang Berhormat Pehin.
Katanya, ibadah sembahyang bukan saja perisai atau kubu keselamatan bagi siapa yang melakukannya tapi ia juga adalah penyeri wajah yang sangat ampuh.
“Tahukah kita, orang yang berada di tempat sembahyangnya dengan ada air wuduk, malaikat akan mendoakannya dan selama wuduk itu tidak batal, selama itulah dia akan menerima doa para malaikat,” tekan Yang Berhormat Pehin.