Monday, July 21, 2025
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sentiasa doakan raja selaku walil amr

    Oleh Lyna Mohamad – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Raja memiliki kedudukan tinggi dan mulia yang diberikan oleh Allah SWT selaku walil amr. Selaku rakyat, kita mempunyai tanggungjawab mentaati, membantu dan mendoakan raja menjalankan amanahnya.

    Amalan mendoakan raja bukan sahaja menjaga keharmonian masyarakat, bahkan menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara.

    Perkara tersebut antara intipati tazkirah Mendoakan Raja yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan semalam bagi menyerikan Malam Munajat Ilal Hijrah Senegara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79.

    Pada majlis yang berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong di sini, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim seterusnya menjelaskan amalan mendoakan raja adalah manifestasi kecintaan rakyat kepada pemerintahan raja yang adil dan penyayang.

    Dengan amalan mendoakan sultan, tambahnya, Negara Brunei Darussalam sudah mencerminkan perpaduan rakyat dengan pemerintah.

    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda hadir untuk sama-sama menunaikan solat berjemaah tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Tazkirah disampaikan oleh Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH: Antara yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Malam Munajat tersebut diadakan secara fizikal dengan tumpuan utama di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong yang turut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Juga hadir, timbalan-timbalan menteri, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan dan warga kementerian-kementerian, serta ahli jawatankuasa takmir dan para jemaah yang hadir secara fizikal mahupun secara maya dari beberapa buah masjid termasuk surau dan balai ibadah di seluruh negara dan juga dari rumah-rumah persendirian.

    Para hadirin terlebih dahulu menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah, diikuti Sembahyang Sunat Ba’diah serta Sembahyang Sunat Hajat berjemaah dan seterusnya bacaan Doa ‘Afiat.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan.

    Sejurus selesai tazkirah, majlis diteruskan dengan bacaan Selawat Nur oleh para pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Seterusnya Doa Munajat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin dari Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Acara kemudian diteruskan dengan Sembahyang Fardhu Isyak berjemaah.

    Malam Munajat Ilal Hijrah Senegara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 bagi Tahun 2025 diadakan secara serentak di masjid-masjid utama di tiga daerah yang lain iaitu Daerah Tutong bertempat di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong; di Daerah Belait, bertempat di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait; dan bagi Daerah Temburong, bertempat di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.

    Acara itu diadakan bagi menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT, keamanan dan kemakmuran negara berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, kesefahaman antara raja dan rakyat serta perpaduan semua lapisan masyarakat pada mendukung usaha-usaha meneruskan pembangunan bagi mencapai kesejahteraan dan kemajuan yang seimbang selain semangat patriotik dan kecintaan rakyat terhadap raja yang dikasihi, disemarakkan lagi dalam suasana memperingati Sambutan Ilal Hijrah 1447.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda