Sentiasa hati-hati, elak tersesat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menyarankan orang ramai khususnya bagi penggemar kegiatan hiking untuk memastikan mereka tahu akan keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan tidak meneruskan aktiviti jika keadaan sudah mula gelap.

Saranan itu dibuat berikutan kejadian orang sesat yang dilaporkan di kawasan Bukit Tampayan Pisang, Muara pada 24 Ogos Julai.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, lima orang anggota bomba dan penyelamat diketuai oleh ABK 59 Junaidi bin Haji Labai dari Balai Bomba Muara, Cawangan Operasi A dan lima orang anggota yang diketuai oleh ABK 658 Hasanuddin dari Skuad Khas Balai Bomba Rimba, Cawangan Operasi C dikerahkan untuk mencari dua orang sesat pada pukul 6:28 petang di bukit berkenaan.

Anggota bomba dan penyelamat yang masuk ke dalam hutan bagi mencari kedua-dua mangsa menemukan mereka di kawasan Bukit Birut dalam keadaan selamat serta tidak mendapat sebarang kecederaan.

JBP menyarankan orang ramai khususnya penggemar hiking supaya mengetahui kawasan yang hendak dituju bagi menggelakkan tersesat, tidak mendaki bukit secara berseorangan kerana ditakuti berlaku perkara yang tidak diingini dan untuk memaklumkan kepada keluarga atau kawan-kawan di mana tempat mereka hendak tuju.

Di samping itu, untuk keselamatan semasa melakukan aktiviti hiking, mereka disarankan supaya membawa bersama wisel, lampu, telefon bimbit dan air bagi keperluan jika berlaku kecemasan.