Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sentiasa istiqamah ulang hafalan kunci kejayaan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Sentiasa istiqamah dalam mengulang hafalan bacaan Al-Quran setiap hari di mana sekurang-kurang tiga atau lima juz menjadi antara salah satu prinsip yang disemai dalam diri Awangku Muhammad Abdul Qadir bin Pengiran Haji Ibrahim selaku johan di bawah Kategori E, Menghafaz 30 Juz Al-Quran iaitu Juz 1 hingga Juz 30 Berserta Pemahaman Surah Ali-Imran dan Surah An-Nisa bagi Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah.

    Berkesempatan ditemui Media Permata setelah pengumuman dan penyampaian hadiah di Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, malam kelmarin, menambah antara satu teknik untuk menghafal ayat-ayat suci Al-Quran dengan baik perlunya melancarkan bacaan tajwid terlebih dahulu seperti fokus kepada setiap satu muka surat mahupun dari satu ayat ke ayat seterusnya.

    Dengan memperoleh markah 98.48 peratus dan buat julung kalinya meraih johan pada tahun ini bagi kategori berkenaan, Awangku Muhammad Abdul Qadir turut mengongsikan saranan bersama demi meraih keberkatan dalam apa yang dilakukan dalam kehidupan, kita mestilah sentiasa menjaga sembahyang lima waktu dan meningkatkan ibadah-ibadah sunat yang lain seperti sembahyang Sunat Tahajud di samping sentiasa menghormati ibu bapa dan guru-guru yang mencurahkan ilmu kepada kita selama ini.

    Turut berkesempatan ditemu bual ialah johan bagi Kategori B, Menghafaz Surah-surah Pilihan iaitu Surah Luqman, Surah As-Sajdah, Surah Yasin, Surah Ad-Dukhan, Surah Ar-Rahmaan, Surah Al-Waqi’ah, Surah Al-Jumu’ah, Surah Al-Mulk, Surah Al-Jinn dan Surah Al-Insaan dan Berserta Pemahaman Surah Al-Qasas dan Surah Al-Ankabut yang diperoleh oleh Dayang Nur Abidah Bazilah binti Haji Rosmin yang antaranya meluahkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT atas rezeki dan peluang yang diberikan itu dalam menceburi pertandingan berkenaan.

    “Sentiasa melakukan pengulangan hafalan bacaan Al-Quran dalam sehari-hari dan juga membaca hafalan ayat-ayat suci Al-Quran itu dalam sembahyang lima waktu, itulah yang saya amalkan selama ini.

    “Selain itu, saya juga sentiasa meminta ahli keluarga saya terutama kakak saya untuk memperdengarkan bacaan hafalan saya dari semasa ke semasa di rumah,” ujarnya yang juga buat julung kalinya mendapat tempat pertama setelah menyertai tiga kali pertandingan sedemikian.

    Awangku Muhammad Abdul Qadir semasa ditemui Media Permata bersama kedua ibu bapa beliau dan ahli keluarga yang lain sejurus selesainya majlis malam kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Dayang Nur Abidah Bazilah bersama kedua ibu bapanya turut berkesempatan ditemui Media Permata. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda