Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sentiasa menjaga kebersihan masjid

    Masjid yang selesa dan bersih penting untuk mencapai matlamat ibadat yang sempurna. Fungsi utama masjid adalah sebagai tempat beribadat.

    Ia juga dipanggil dengan nama Baitullah atau rumah Allah.

    Ia sebenarnya mempunyai fungsi yang lebih besar untuk dimanfaatkan, bukan sahaja sebagai tempat beribadah, malah juga sebagai pusat aktiviti masyarakat.

    Tidak guna mempunyai surau dan masjid yang cantik dan gah, jika kebersihan tidak dijaga. Menjaga kebersihan masjid adalah tanggungjawab semua pihak agar kesuciannya sentiasa terpelihara sama ada di dalam masjid atau di sekitarnya.

    Dalam kitab Fiqah Islam, bab pertama yang dibahaskan ialah bab bersuci. Bersuci merujuk penjagaan kebersihan diri, tempat, pakaian, bangunan seperti masjid, surau, rumah, sekolah, termasuklah juga hal-hal kebersihan makanan, minuman, bahan gunaan seharian seperti ubat-ubatan, kosmetik dan sebagainya.

    Masjid adalah satu tempat mulia dan soal kebersihan perlu diberi keutamaan sesuai dengan kemuliaannya. – Agensi

    Dalam Islam telah disyariatkan perintah menjaga kebersihan dan dianjurkan supaya umatnya sentiasa menjaga kebersihan rohani dan jasmani, yang juga bermaksud supaya umat Islam sentiasa bersih, harum wangi, kemas dan ceria dalam kehidupan seharian.

    Pada zaman Rasulullah SAW, ada seorang wanita berkulit hitam bernama Ummu Mahjan. Dia sering membersihkan Masjid Nabawi. Abu Hurairah menceritakan bahawa satu hari Rasulullah SAW bertanyakan tentang Ummu Mahjan yang tidak kelihatan sekian lama dan para sahabat memberitahu beliau telah meninggal dunia.

    Baginda berkata, “Mengapa kalian tidak memberitahuku?”.

    Seolah-olah mereka meremehkan kematian wanita itu.

    “Tunjukkan aku kuburnya,” pinta Baginda.

    Mereka menunjukkan kubur Ummu Mahjan lalu Rasulullah SAW pun bersolat jenazah dan kemudiannya Baginda berkata lagi, “Ahli kubur ini dilitupi kegelapan. Namun, Allah meneranginya sebab solat dan doaku kepada mereka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang mengeluarkan kotoran dari masjid maka Allah akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.” (Riwayat Ibnu Majah).

    Jika kita dapat melihat sebuah rumah yang menanti di syurga untuk mereka yang sentiasa menjaga kebersihan masjid, pasti ramai yang berebut-rebut menawarkan diri untuk membersihkan masjid.

    Masjid adalah satu tempat mulia dan soal kebersihan perlu diberi keutamaan sesuai dengan kemuliaannya.

    Semoga dengan adanya kempen kebersihan masjid dan usaha-usaha yang berterusan oleh pelbagai pihak, kesedaran tentang menjaga kesucian dan kebersihannya akan meningkat.

    Secara tidak langsung, usaha ini juga menanam sifat cintakan kebersihan. Sesungguhnya kebersihan sebahagian daripada iman. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda