Thursday, March 20, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sentiasa pamer imej positif

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Para atlet yang menyertai Kem Sukan Atlet Berbakat diingatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan sentiasa mempamerkan imej yang positif sebagai seorang atlet negara.

    Mereka merupakan atlet yang akan menjadi atlet kebangsaan pada satu hari nanti dan mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam dengan meraih pingat di kejohanan-kejohanan sukan antarabangsa.

    Peringatan itu dibuat oleh Setiausaha Tetap (Kesukanan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dalam ucapannya pada Pelancaran Kem Sukan Atlet Berbakat 2022 yang berlangsung di Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD), hari ini.

    Beliau berkata, suasana kem adalah sangat berbeza, dinamik dan mencabar jika dibandingkan dengan suasana latihan yang dijalani setiap hari.

    Walau bagaimanapun, beliau berharap para atlet akan menyahutnya sebagai satu cabaran dan bersedia untuk keluar dari zon selesa serta melalui pengalaman itu dengan sikap terbuka.

    Kem tersebut merupakan inisiatif Jabatan Belia dan Sukan (JBS) melalui Unit Kejurulatihan dan Pembangunan Sukan (UKPS), Bahagian Sukan dengan kerjasama OBBD, KKBS yang diadakan selama empat hari bermula hari ini hingga 8 Disember.

    Program itu disertai oleh seramai 35 orang atlet pelapis Skim JBS yang terdiri daripada 10 atlet sukan bola jaring, dua atlet sukan catur, lima atlet sukan karate, lima atlet sukan lawan pedang, enam atlet sukan olahraga, dua atlet sukan pencak silat serta lima atlet sukan tekwando.

    Kem Sukan Atlet Berbakat juga merupakan langkah proaktif dalam merancang program bagi membimbing atlet-atlet Skim Latihan JBS yang dikenal pasti ke arah perkembangan pembangunan keperibadian mereka dan seterusnya cemerlang dalam bidang sukan.

    Di samping itu, ia juga selaras dengan Pelan Strategik 2020-2024 KKBS, melalui sektor kesukanan iaitu Negara Sukan yang Gemilang, yang mana misinya adalah untuk mewujudkan persekitaran terbaik bagi kemajuan sukan dan akses kepada individu untuk menyertai aktiviti-aktiviti kesukanan, bersaing dan mencapai kecemerlangan tinggi dalam sukan serta mengamalkan gaya hidup sihat.

    Pengiran Mohammad Amirrizal bergambar ramai dengan para atlet yang menyertai program berkenaan. – Gambar serahan Jabatan Belia dan Sukan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda