Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Setiap hamba Allah tidak akan terlepas daripada menghadapi ujian sama ada dalam bentuk kesenangan atau kesusahan, oleh itu kita diajarkan untuk sentiasa memanjatkan kesyukuran dalam apa jua keadaan dengan melazimkan muhasabah diri dan taubat bagi menginsafi setiap perlakuan yang kita buat.
Perkara tersebut adalah antara inti pati tazkirah bertajuk ‘Bersyukur di atas Nikmat Allah SWT’ yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah, Fakulti Pendidikan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Haji Mohammad Khairul Azhar bin Haji Idris dari Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas bagi menyemarakkan Malam Munajat ke-95 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), kelmarin.
Hadir menyertai Malam Munajat tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Acara tersebut turut mengundang Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir selaku tetamu khas dari Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.
Mengimarahkan lagi acara ialah para pegawai dan tenaga pengajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Azemah Ni’matul Bolkiah, Kampung Mentiri serta Sekolah Ugama Tentera Laut Diraja Brunei, Muara.
Program juga diserikan oleh ahli-ahli Pertubuhan WARGAMAS dari ibu pejabat pertubuhan, ahli jawatankuasa takmir dan jemaah dari Masjid Utama Mohammad Salleh dan Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
Turut serta ialah para jemaah dari 91 buah masjid termasuk surau serta balai ibadat seluruh negara dan warga kerja KHEU serta jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dari kediaman masing-masing.
