Oleh Pg Fairol RMF & Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Setakat ini pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) belum ada cadangan untuk mengenakan tindakan-tindakan lain selain daripada memberikan teguran dan peringatan kepada orang ramai yang tidak mengibarkan bendera atau tidak mengikut garis pandu yang ditetapkan semasa sambutan-sambutan perayaan negara.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong berkata sedemikian bagi menjawab soalan yang dibangkitkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN)¸ Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput mengenai pemasangan bendera kebangsaan yang sudah rosak.
Semasa Persidangan MMN bagi hari kelima di Bangunan Dewan Majlis, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar menyeru orang ramai untuk menaikkan dan mengibarkan bendera Negara Brunei Darussalam semasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi tempoh selama sebulan.
Menurut beliau, pengibaran bendera di seluruh negara diharap akan dapat meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab dalam konteks kehidupan bernegara, berbangsa, berkerajaan dan beraja. Pengibaran bendera ini, tambah beliau, juga akan menyemarakkan suasana sambutan dan menzahirkan semangat perpaduan dan menandakan simbol patriotisme dan nasionalisme bangsa.
Dengan itu, semua penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, pemimpin-pemimpin masyarakat dan ketua keluarga akan dapat bekerjasama saling ingat-mengingati bagi memastikan perlaksanaan tanggungjawab setiap rakyat dan penduduk bagi mengibarkan bendera Negara Brunei Darussalam pada tempoh masa yang ditetapkan.
Di samping itu, menurut beliau, KHEDN melalui jabatan-jabatan bandaran dan jabatan daerah akan sentiasa memantau dan membuat pemeriksaan bagi memastikan pengibaran bendera dilaksanakan dan seterusnya membuat teguran dan peringatan yang sewajarnya terhadap pemilik-pemilik rumah atau bangunan serta premis-premis perniagaan jika terdapat bendera-bendera Negara Brunei Darussalam yang dipasang dalam keadaan tidak betul, koyak, rosak, pudar atau tidak mengikut garis pandu atau cara yang ditetapkan termasuklah kain-kain rentang dalam tempoh masa meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan.