Oleh Daniel Lim
BELAIT, 21 JUN – Dalam usaha memupuk kesedaran mengenai keselamatan jalan raya, terutamanya berkaitan penggunaan tali pinggang keledar, Expro (B) Sdn Bhd dan Schlumberger (SLB) Brunei telah menganjurkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Keselamatan Tali Pinggang Keledar di premis Expro, Taman Perindustrian Sungai Bera, Seria kelmarin.
Kempen tersebut bertujuan menekankan risiko yang timbul akibat kecuaian.
Pengurus Operasi Pembinaan Telaga Expro, Andrew Hampson berkata kempen tersebut menawarkan peluang unik kepada pegawai dan kakitangan mereka untuk mempelajari tentang kepentingan keselamatan jalan raya.
“Setiap langkah yang kami ambil dalam hidup mempunyai set peraturan. Begitu juga, keselamatan jalan raya mempunyai set peraturannya sendiri, dan ia penting untuk dipatuhi demi menjamin keselamatan semasa di jalan. Marilah kita semua sentiasa peka terhadap keselamatan jalan supaya kami boleh pergi ke tempat kerja dengan selamat dan pulang dengan selamat,” kata beliau.
Kempen yang diketuai Pengurus HSE dan Fasiliti SLB Brunei, Awang Azlee Adnan itu dihadiri oleh rakan kongsi perniagaan, pegawai dan kakitangan.
Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sempena kempen, termasuk pengalaman perlanggaran pada kelajuan tinggi di Seat Belt Convincer, demonstrasi Kerosakan Penglihatan Serius di mana satu set gogal dengan cetakan perkataan Penglihatan Teruk menyebabkan pemakai memaparkan tingkah laku tipikal individu yang terjejas akibat minuman beralkohol atau dalam keadaan mabuk.